Masa depan Sarawak bergantung kepada pensijilan pengurusan hutan

0

KUCHING: Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar akan membincang lebih khusus dan terperinci dengan pemegang saham sijil pengurusan hutan bagi membolehkan kerajaan menyediakan mekanisme yang menguntungkan semua pihak yang terlibat dalam bidang tersebut.

Menteri Keduanya Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menjelaskan, masa depan negeri adalah bergantung kepada pensijilan pengurusan hutan kerana ia akan menjadi sumber bagi kebanyakan pengusaha perkayuan di Sarawak.

“Kita hendaklah berganding bahu bagi memastikan negeri ini mencapai sasaran satu juta hektar ladang perhutanan menjelang 2020 yang memungkinkan pengeluaran 10 hingga 15 meter padu kayu balak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Makan Malam Seminar Pensijilan Pengurusan Hutan (Natural Forests) di Hotel Four Point by Sheraton di sini, malam kelmarin.

Seperti yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri bahawa kerajaan sedang menimbang untuk melanjutkan tempoh lesen sehingga 60 tahun bagi syarikat yang mendapatkan pensijilan pengurusan bagi kawasan hutan mereka, Awang Tengah berkata, insentif itu memang wajar jika mengambil kira kos tinggi untuk melaksanakan langkah tersebut.

“Dengan wujudnya pelbagai cabaran, saya percaya negeri kita mampu mencapai sasaran yang telah dirangka.

“Pada masa sama, saya juga berharap agar seminar yang dianjurkan ini dapat memberi pandangan ke arah perspektif baharu terhadap pengurusan hutan yang lebih baik,” katanya.

Melalui seminar itu juga jelas Awang Tengah, ia menjadi medium supaya peserta dapat berkongsi idea serta pandangan berdasarkan pengalaman dalam menguruskan sektor perhutanan kebangsaan.

Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam memberi jaminan bahawa Sarawak komited kepada pengurusan hutan yang lebih baik.

Turut hadir Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datu Sudarsono Osman dan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Sapuan Ahmad.