Pengurusan hutan Sarawak diiktiraf

1

INGIN TAHU: Adenan mendapat penjelasan daripada Ketua Program Pemuliharaan Sarawak WWF-Malaysia Dr Henry Chan (kanan) ketika beliau melawat pameran sempena Seminar Pensijilan Pengurusan Hutan (Hutan Semula Jadi) di Sarawak. Turut kelihatan Dionysus (dua kanan) dan Presiden WWF-Malaysia Datuk Seri Tengku Zainal Adlin.

Tindakan arah pemegang lesen pembalakan dapat persijilan pengurusan diiktiraf antarabangsa dipuji

KUCHING: Dana Sedunia Alam Semula Jadi – Malaysia (WWF-Malaysia) memuji tindakan Kerajaan Negeri Sarawak mengarahkan pemegang-pemegang lesen pembalakan utama di negeri ini mendapatkan persijilan pengurusan utama yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WWF-Malaysia Datuk Dr Dionysius Sharma berkata kerajaan telah memperkenalkan penyelesaian menang-menang dalam menyelesaikan keperluan industri dan alam sekitar ke arah pengurusan mapan.

Beliau berkata sudah tiba masanya untuk syarikat-syarikat pembalakan di Sarawak memiliki pensijilan pengurusan hutan bagi memastikan sumber-sumber semula jadi itu diurus secara lestari seiring dengan permintaan produk-produk disahkan dalam pasaran global.

Menurutnya pensijilan memberi banyak akses kepada pasaran yang sensitif kepada keperluan alam sekitar dan sosial .

“Ini sememangnya langkah positif diambil Kerajaan Sarawak untuk memastikan industri pembalakan di negeri ini mendapat pensijilan antarabangsa.

“WWF-Malaysia menyokong pengurusan hutan yang bagus untuk kelestarian jangka panjang serta memelihara fungsi dan integriti biodiversiti juga ekosistem.

“Kami berharap dapat menyediakan maklumat dan bantuan teknikal untuk memastikan pemain-pemain industri pembalakan Sarawak mendapat pensijilan menerusi agensi-agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Hutan Sarawak, Sarawak Forestry Corporation dan Perbadanan Pembangunan Perusahaan Kayu Sarawak,” katanya.

Tambahnya lagi untuk beberapa tahun  WWF-Malaysia telah bekerja sama dengan Jabatan Hutan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah mengurus hutan negeri itu secara mapan.

Menerusi kerjasama itu katanya, manfaat sosioekonomi berterusan dapat dinikmati oleh kerajaan, rakyat dan alam sekitar, tambahnya.

Dionysius menjelaskan pensijilan hutan juga memastikan spesies-spesies hidupan liar penting dan habitat lain yang bergantung dengannya dilindungi.

Beliau berkata demikian bagi memberi maklum balas kepada pengumuman Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem yang menyatakan bahawa kerajaan akan melanjutkan tempoh lesen konsesi hutan hingga 60 tahun jika pemegang-pemegang lesen memperoleh pensijilan dalam tiga tahun selepas perjanjian persefahaman ditandatangani.

Kegagalan syarikat mematuhi syarat-syarat ditetapkan akan ditamatkan lesen pembalakannya, tambah Adenan.

Adenan berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pensijilan Pengurusan Hutan (Hutan Semula Jadi) di Sarawak di sebuah hotel di sini kelmarin (Rabu).

Beliau menjelaskan bahawa syarikat-syarikat pembalakan seharusnya mendapatkan sijil yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti Majlis Pengawasan Hutan (FSC), Skim Pensijilan Perkayuan Malaysia (MTCS) atau skim-skim Program Bagi Pengendosan Pensijilan Hutan (PEFC).