Sarawak perlu lebih banyak dana bekal elektrik

0

Akan mohon pada RMK11 bagi bolehkan k’jaan beri perkhidmatan bekalan elektrik seimbang

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Sarawak memohon lebih banyak dana daripada kerajaan persekutuan yang akan dicadangkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi menyediakan bekalan elektrik kepada semua penduduk negeri ini.

Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia bagi membolehkan kerajaan terus memberi perkhidmatan bekalan elektrik yang seimbang untuk kedua-dua kawasan iaitu bandar dan luar bandar.

Beliau berkata untuk menyambung bekalan elektrik ke kawasan pedalaman dengan kabel pengagihan yang panjang kepada populasi kecil, berjauhan dan berselerak adalah sesuatu yang mencabar.

“Ia memerlukan inovasi dan teknologi baharu seperti hidro mini, hibrid solar atau biomas berserta rangkaian grid.

“Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan itu  boleh melakukan kajian dan mengenal pasti bagimana penduduk di pedalaman dapat menikmati kemudahan yang sempurna,” katanya pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri SEB 2014 di Wisma SEB di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua berkata, SEB merupakan agensi penting yang meneroka ke pedalaman dan pada masa yang sama juga akan membangunkan penduduk berkenaan.

Katanya selain itu SEB juga telah dipertanggungjawabkan untuk memenuhi permintaan pesat daripada aspek permintaan tenaga yang kini berkapasiti 1,250MW dan dijangka meningkat kepada 5,103 MW menjelang 2020.

“Pertumbuhan pesat bermakna SEB perlu memperkembang sistemnya termasuk membina loji tenaga yang baharu terutama tenaga hidro dan loji arang batu, membina dan memperkukuh talian pencawang dan edaran.

“Dengan penyiapan Empangan Hidroelektrik Murum yang berkapasiti  944MW yang dijangka bermula dan boleh digunakan akhir tahun ini membuktikan keupayaan SEB untuk memenuhi hasrat untuk menjadi negeri maju menjelang 2020,” katanya.

Awang Tengah berkata dengan melihat kepada permintaan pada masa akan datang juga, beberapa kawasan empangan hidro lain turut dirancang dibangunkan termasuk 1,000MW di Empangan Baram dan Empangan Baleh.

“Empangan hidro yang lebih kecil, di kawasan yang belum disambung kepada grid, turut dirancang bukan sahaja untuk memenuhi permintaan tetapi mengurangkan kebergantungan kepada bahan fosil,” tegasnya.

Tambah beliau, SEB adalah agensi yang penting dalam meneroka kawasan pedalaman dan pada masa yang sama membangunkan penduduk berkenaan.

Dalam terus berkembang pesat, SEB kata beliau menghadapi cabaran pada masa depan dengan permintaan serta jangkaan yang lebih besar daripada pelanggan dalam menyampaikan perkhidmatan berkualiti.

“Keperluan untuk modal insan juga meningkat dan ia memerlukan tenaga kerja yang sangat mahir dan cekap.

“Pekerja SEB tahun ini dijangka akan berkembang lebih daripada 4,000 dan mereka merupakan aset syarikat yang terbaik dalam merealisasikan visi untuk menjadi utiliti bertaraf dunia,” katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SEB Datuk Torstein Dale Sjotviet, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air)  Datuk Sylvester Entri Muran, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Ketua Perkhidmatan Korporat SEB Aisah Eden.