Seorang maut, tiga cedera parah van rodok lori balak

0

 

NAHAS MAUT: Anggota bomba melakukan tugas-tugas menyelamat mangsa kemalangan.

BINTULU: Seorang maut dan tiga cedera parah apabila van yang dinaiki oleh mereka terba­bit dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah lori balak di Kilometer 74 Jalan Bakun-Bintulu, malam kelmarin.

Sebelum kejadian, van tersebut mengekori dan dipercayai cuba memotong lori balak terbabit, namun tidak menjadi selepas menyedari kehadiran sebuah kereta lain dari arah hadapan.

Justeru, van itu memasuki semula laluannya di belakang lori namun terlanggar seba­tang kayu balak yang dibawa lori terbabit menyebabkan bahagian hadapan van remuk teruk, manakala penumpang­nya tersepit.

Pengguna jalan lain bergegas membantu mangsa dan berjaya mengeluarkan tiga penumpang van terbabit kecuali pemand­unya.

Salah seorang penumpang yang berjaya dikeluarkan terus dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, tetapi meninggal dunia dalam per­jalanan ke Hospital Bintulu.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu Dihata Gobel berkata, kemalangan itu berlaku pada jam 7.50 malam dan mangsa yang dikenal pasti sebagai Muhamad Hafiz Abu, 30.

Manakala, tiga lagi mangsa termasuk pemandunya tersela­mat dan mengalami kecederaan parah ialah Amir Ashraf Ishak, 26, Durendel Metea, 34, dan Uoon Phian Loi, 40.