Terima layanan buruk di Ipoh

2

Penyokong Sarawak ditumbuk, ditendang selepas aksi Piala Malaysia menentang Perak

KUCHING: Lima penyokong Sarawak dari kumpulan ‘GB13’ diserang di luar perkarangan Stadium Ipoh Perak pada malam Rabu lepas selepas perlawanan Piala Malaysia di antara Sarawak dan Perak.

Serangan itu dipercayai dimulakan oleh salah seorang ahli kumpulan penyokong setia Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) ketika penyokong pasukan Sarawak mahu meninggalkan stadium.

Menurut mangsa Hifadhi Fatha Sarbini, 22, rakyat Sarawak yang bekerja di Ampang, ketika beliau dan rakannya mahu meninggalkan stadium salah seorang penyerang tidak dikenali melaungkan kata-kata berunsurkan perkauman kepada penyokong Sarawak.

“Saya melihat dia (penyerang) dari jarak jauh dan kemudian didatangi seorang penyokong tuan rumah menjelaskan situasi apabila beberapa saat kemudian seorang lagi penyokong tuan rumah berlari ke arah saya lalu menumbuk kepala dan menendang badan saya.

“Yang lain pulang menjerit berkataan ‘balik la.. ini Ipoh’… ‘Sarawak tak reti main’… ‘Melayu dan Iban Sarawak bodoh’,” demikian menurut Hifadhi.

Beliau kemudiannya menggesa polis dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan ke atas PAFA kerana gagal memastikan keselamatan penyokong pasukan pelawat serta mengawal penyokong mereka.

“Saya telah membuat laporan polis hari ini dan berharap polis akan melakukan siasatan sepenuhnya,” kata Hifadhi.

Seorang lagi mangs a Charles Steve, 25 memberitahu beliau diserang sebelum cuba melarikan diri mencari pelindungan di tempat letak kereta di perkarangan stadium berkenaan.

“Bagaimanapun, seorang lagi penyokong tuan rumah dengan tiba-tiba datang dari arah belakang saya dan menendang pinggang saya,” katanya sambil menambah seorang lagi rakyat Sarawak mengalami kecederaan di hidung akibat serangan itu.

“Ini suatu yang amat mengecewakan saya kerana ini adalah kunjungan pertama saya ke Perak… Adakah kami telah melakukan kesalahan? Adakah kita pernah melayan buruk penyokong luar sebelum ini? Inikah yang FAM mahu berlaku dalam Kempen Liga Malaysia… Sesuatu mesti dilakukan untuk memastikan tiada pihak berlagak seperti ‘Samseng Kampung’ dan tidak menyerang orang lain juga,” tambahnya.

Sementara itu dua video dirakam berhubung kejadian itu dan kini menjadi viral dalam media sosial.

Video berdurasi 15 saat itu menunjukkan seorang lelaki memakai kemeja T warna hitam menumbuk salah seorang mangsa manakala video berdurasi seminit menunjukkan penyokong tuan rumah menjerit mengarah rakyat Sarawak balik (ke Sarawak).