Komuniti Bidayuh Miri mahu ‘dilihat’ dan ‘dirasai’

0

Oleh Clare Cinderella

 

KUNJUNGAN HORMAT: Kapten Bernard (dua kanan) dan ahli jawatankuasa DBNA bergambar kenangan bersama Datuk Bandar Miri Lawrence Lai, ketika mengadakan kunjungan hormat terhadapnya, di Miri kelmarin.

MIRI: Meskipun jumlah mereka minoriti di sini, namun masyarakat Bidayuh mahu kewujudan mereka ‘dilihat’ dan ‘dirasai’ oleh kaum-kaum lain yang ada di sini.

Sumber tidak rasmi merekodkan lebih 5,000 kaum Bidayuh menetap dan bekerja di bandar raya ini dengan kebanyakan mereka menetap di Kampung Bidayuh, Lusut dan Taman Tunku.

“Manakala selebihnya tinggal berselerak di Permyjaya, Senadin dan Tudan,” kata Pengerusi Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan (DBNA) Miri Kapten Bernard Idit.

Beliau berkata demikian semasa mengetuai jawatankuasa dan ahli persatuan itu mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai di pejabatnya di sini, kelmarin.

“Walaupun kami hanya kumpulan kecil atau minoriti di Miri, namun kami mahu turut serta memberi sumbangan dan memainkan peranan aktif dalam pembangunan sosioekonomi di Miri,” jelas beliau lagi.

Menurut Bernard, kebanyakan Bidayuh yang datang ke Miri, berasal dari Serian, Bau dan Lundu dari bahagian pertama dan jumlah mereka kini semakin bertambah, kerana semakin ramai yang berhijrah ke sini.

“Dengan bertambahnya jumlah masyarakat Bidayuh di sini, kami berharap pihak berkuasa berkaitan akan mempertimbang untuk melantik seorang penghulu bagi menjaga hal ehwal kaum Bidayuh, walaupun kita tahu seorang ketua kaum telah dilantik untuk Kampung Bidayuh di Lusut,” tambahnya.

Menurut beliau pelantikan penghulu amat penting bagi masyarakat Bidayuh ketika ini, khususnya bagi menjaga perkara berkaitan adat istiadat termasuk hal ehwal perkahwinan, perceraian dan pelbagai perkara lagi, selain berkaitan kebudayaan dan sebagainya.

Sehubungan itu, untuk menjadikan kehadiran mereka (di Miri) lebih jelas dan bermakna, DBNA akan menjalin kerjasama dengan MBM dalam menganjurkan aktiviti kebudayaan dan program-program kemasyarakatan.

Antaranya ialah menganjurkan sambutan perayaan Hari Gawai Dayak Peringkat Bahagian Miri pada tahun depan.

“Manakala pada 27 September kelak, kami akan menganjurkan kejohanan golf amal yang dijangka akan disertai sekitar 200 pemain dari seluruh negeri termasuk dari Semenanjung Malaysia dan luar negeri yang akan berkampung sempena kejohanan itu kelak di Kelab Golf Miri (KGM),” jelasnya.

Bernard memberitahu, kejohanan itu kelak sebahagian daripada usaha mempromosikan Miri sebagai sebuah bandar raya peranginan, di samping untuk mengutip dana bagi tabung pendidikan DBNA, yang akan digunakan untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan serta insentif kepada pelajar Bidayuh yang cemerlang dalam pendidikan.

Sementara itu, Lai, dalam maklum balasnya amat mengalu-alukan sumbangan pertubuhan masyarakat seperti DBNA ke arah membantu MBM membangunkan Miri.

Katanya MBM amat memerlukan sumbangan dan input daripada masyarakatnya sendiri untuk membantu mempromosi dan membentuk Miri sebagai sebuah bandar raya peranginan.

“Setiap orang dan semua pihak perlu saling bekerjasama dan bukan hanya menyerahkannya kepada pihak MBM semata-mata untuk memasarkan dan mempromosikan Miri sebagai destinasi pelancongan serta pusat peranginan di negeri ini.

“Sehubungan itu saya dan MBM amat mengalu-alukan kerjasama dalam menganjurkan program dan aktiviti yang diyakini mampu menjadikan Miri sebagai bandar raya peranginan yang hidup dan menceriakan sepanjang tahun,” jelas Lai lagi.