Pelajar cedera ditumbuk guru

3

LIMBANG: Seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di sini mendapat kecederaan di bahagian mata kirinya dipercayai ditumbuk seorang guru lelaki di sekolah sama dalam kejadian pada Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu mangsa, 14, dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurut sumber, ketika kejadian mangsa menegur guru terbabit yang dikatakan sedang mencekik rakannya kerana mempersenda guru berkenaan di dalam kelas.

“Suspek yang berang dengan teguran itu kemudiannya menumbuk mangsa terbabit,” katanya.

Satu laporan polis dibuat ibu mangsa pada sebelah petang sejurus kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan enggan mengulas lanjut.