Polis siasat cubaan pecah mesin ATM

0

SIASAT: Anggota forensik sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian.

KUCHING: Polis sedang menyiasat kes cubaan memecahkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik sebuah bank tempatan di Jalan Bormill Estate di sini, semalam.

Difahamkan, insiden disedari oleh seorang pekerja sebuah syarikat berdekatan selepas mendapati cermin bilik mesin ATM tersebut ditutup dari dalam menggunakan plastik putih sekitar jam 7 pagi.

“Dia (saksi) kemudian pergi melihat ke dalam bilik tersebut dan mendapati terdapat kesan terbakar pada mesin ATM berkenaan dipercayai cuba dibuka secara paksa.

“Dia kemudian terus menghubungi pihak polis melaporkan mengenainya,” Kata sumber.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Fauzilan Abdul Aziz semasa dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

“Memang ada kesan terbakar di bahagian tepi mesin ATM tersebut dipercayai menggunakan alat kimpalan oksigen dan kita juga dapati lampu di dalam bilik mesin ATM tersebut turut dirosakkan,” kata Fauzilan.

Bagaimanapun menurut beliau, tiada kerugian dilaporkan dan siasatan lanjut oleh anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak juga masih dijalankan.