Satu liang lahad

1

Oleh Mahathir Haroun//

SELAMAT DISEMADI: Dayang Jamilah Noriah Abang Anuar (dua, kiri) menyiram pusara anaknya Ariza di Tanah Perkuburan Islam Semariang, semalam. — Gambar Bernama

KUCHING: Jenazah dua beranak Ariza Ghazalee, 46, dan Muhammad Afif Tambi, 19, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini, petang semalam.

Upacara pengebumian yang dihadiri 5,000 orang yang terdiri daripada waris, pemimpin kerajaan negeri dan persekutuan itu berlangsung dalam suasana sedih dan pilu.

Jenazah mereka tiba di tanah perkuburan itu sekitar jam 4.50 petang selepas selesai disembahyangkan di Masjid Jamek negeri dan selamat dikebumikan pada jam 5.05 petang.

Hadir sama pada upacara itu ialah Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman selain tetamu kehormat yang lain.

Jenazah Ariza dan Afif merupakan antara 20 jenazah kumpulan pertama tragedi MH17 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dari Amsterdam pagi semalam.

Selesai istiadat penghormatan penerimaan jenazah yang dihadiri Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah di Kompleks Bunga Raya KLIA, jenazah dua beranak itu diterbangkan menggunakan pesawat Charlie C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tiba di Pangkalan Udara TUDM, Kuching pada jam 2.17 petang.

Kemudian, jenazah mereka dibawa menaiki van ke Masjid Jamek Negeri untuk disembahyangkan seterusnya ke Tanah Perkuburan Islam Semariang.

Ariza dan Afif terkorban selepas pesawat MH17 yang dinaiki oleh mereka serta 292 penumpang lain dan anak kapal terhempas dipercayai ditembak jatuh di Ukraine, 17 Julai lepas.

Nahas itu turut mengorbankan suami Ariza, Tambi Jiee, 49, serta tiga lagi anak mereka iaitu Muhammad Afzal,17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhammad Afruz,13.

SURAM: Keranda Ariza dan Afif dibawa masuk ke Masjid Jamek Negeri untuk disembahyangkan semalam.

BERI PENGHORMATAN: Ribuan orang membanjiri
Tanah Perkuburan Islam Semariang semasa majlis
pengebumian Ariza dan Afif.