Setiap perayaan sebagai landasan menjayakan gagasan 1Malaysia

0

SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri mahu setiap perayaan diraikan pelbagai kaum di negara ini dijadikan sebagai landasan menjayakan gagasan 1Malaysia.

Menurutnya, adalah wajar setiap perayaan diraikan rakyat Malaysia tidak kira di Sarawak mahupun Sabah dan Semenanjung Malaysia menjadikan setiap perayaan diraikan bersama.

“Menjadi kebudayaan masyarakat kita khasnya di negeri ini setiap perayaan, kita melakukan kunjung-mengunjungi kepada saudara-mara dan rakan-rakan, sahabat handai atau jiran tetangga tanpa mengira kedudukan, pangkat dan juga agama dan ini melambangkan kita berada dalam 1Malaysia,” katanya.

Simoi berkata demikian pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri dihoskan beliau bersama agensi-agensi kerajaan, swasta, ketua masyarakat, ketua kaum, ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Komuniti PERWANI 1 Malaysia serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga di Dewan Suarah di sini malam kelmarin.

Menurut Simoi, budaya kunjung-mengunjungi adalah satu kebudayaan unik dan harus diteruskan untuk menjamin perpaduan harmoni kalangan rakyat berbilang kaum.

“Perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini amat penting untuk kita maju ke hadapan. Seperti kita semua maklum di Sarawak kita mempunyai banyak kaum.

“Kita dapat tinggal bersama dalam aman dan damai, menghormati agama, kebudayaan, adat resam kaum-kaum lain. Kita merasai tidak ada rusuhan kaum berlaku seperti negara-negara lain.

“Justeru, rakyat harus berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mempunyai dasar amat baik dan memberi peluang saksama kepada semua rakyat,” katanya.

Hadir sama Pegawai Khas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Mohd Saperi Abdul Karim, Timbalan Residen Sri Aman Hamdan Katang, Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh, Temenggung Abang Bohari Abang Zen, Temenggung Samuel Lawen serta Penghulu Abdul Samad Abdul Rahim.