Media sosial dapat bantu kembang perniagaan

0

KUCHING: Peningkatan bilangan masyarakat menggunakan media sosial memberi kelebihan kepada usahawan untuk mengembangkan sayap perniagaan secara atas talian.

Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Tun Musa Hitam berkata, dianggarkan 78 peratus rakyat Malaysia menggunakan Facebook, manakala 51 peratus pula menggunakan YouTube.

Sehubungan itu, menurutnya, pemasaran perniagaan secara atas talian dilihat sebagai alat yang sesuai untuk terus mengembangkan perniagaan terutama di peringkat global.

“Kita lihat sekarang ini bilangan pengguna media sosial semakin meningkat. Saya yakin golongan peniaga dapat memanfaat kelebihan ini untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Bengkel Pemasaran Atas Talian Wilayah WIEF Ke-4 di sini, malam kelmarin.

Bengkel tersebut berlangsung dari 18 hingga 22 Ogos dengan disertai usahawan wanita.

Musa menambah, trend terkini juga menunjukkan masyarakat lebih gemar membeli sesuatu produk secara atas talian.

“Kita boleh lihat sekarang, ramai kalangan pelanggan (masyarakat) amat berminat membeli produk secara atas talian.

“Ia sebenarnya memberi kelebihan kepada golongan usahawan dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan,” ujarnya.

Selain itu, katanya, pemasaran atas talian dilihat mampu untuk mengurangkan kos promosi yang biasanya dilakukan di premis perniagaan masing-masing.

Beliau berharap golongan usahawan dapat mewujudkan laman web sendiri untuk memastikan perniagaan atas talian dapat dijalankan secara lebih efektif.

“Landskap perniagaan sekarang amat berbeza dengan masa dahulu. Jadi kita perlu menjalankan perniagaan mengikut perkembangan semasa,” ujarnya.

Bengkel lima hari itu merangkumi empat modul iaitu rekaan laman web, kandungan laman web, jualan laman web dan alat pemasaran serta pemasaran menggunakan media sosial.

Peserta bengkel turut diajar mengenai sistem pengurusan kandungan (CMS), Google Places dan penggunaan media sosial.

Hadir sama Pengerusi Rangkaian Ahli Perniagaan Wanita WIEF Datuk Dr Norraesah Mohamad.