MH17: Teruskan berdoa agar DNA ditemukan dengan waris

0

KUCHING: Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berharap rakyat Malaysia terus berdoa agar sampel asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa pesawat MH17 dapat ditemukan dengan waris dengan segera.

Beliau berkata, ini untuk membolehkan jenazah mangsa dapat dibawa pulang ke tanah air.

“Semua pihak perlu terus berdoa agar DNA mangsa akan dapat ditemukan bersama waris supaya dapat di bawah pulang ke tanah air dengan segera,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, senarai mangsa lain yang akan dibawa pulang ke tanah air hanya akan diumumkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Setakat ini (petang semalam) senarai nama mangsa yang dibawa balik tidak boleh dikeluarkan. Menteri Pengangkutan yang akan membuat pengumuman nama,” ujarnya.

Rohani menjelaskan, kementeriannya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan seorang kaunselor bagi setiap keluarga mangsa.

Katanya, langkah itu untuk membantu menenangkan waris mangsa yang pastinya sangat bersedih dengan ketibaan jenazah ahli keluarga masing-masing.

“Ada juga antara waris mangsa tidak dapat mengawal perasaan sedih dan kita akan tempatkan kaunselor untuk bantu mereka,” jelasnya.

Jumaat lepas, jenazah dua beranak Ariza Ghazalee, 46, dan Muhammad Afif Tambi, 19, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Semariang.