Pesta Tasik Biru buka pintu rezeki

0

BAU: Kemunculan Pesta Tasik Biru (dikenali sebagai Pesta Jong sebelum ini) sememangnya ditunggu-tunggu oleh ramai pihak terutamanya para peniaga kecil.

Apa tidaknya, pesta berlangsung selama dua hari itu mampu memberi rezeki tambahan kepada peniaga di sekitar daerah berkenaan.

Kehadiran ratusan pengunjung ke pesta tersebut jelas dimanfaatkan sepenuhnya oleh peniaga khasnya pengusaha kraf tangan seperti pembuat pakaian tradisional kaum Bidayuh, aksesori manik, anyaman dan banyak lagi.

Berasal dari Kampung Tembawang Sauh, peniaga pakaian tradisi kaum Bidayuh Cecilia Raim, 52, berkata, setiap kali pesta tersebut dianjurkan dia pasti tidak melepaskan peluang untuk menyertainya kerana baginya ia merupakan pintu rezeki buatnya.

“Saya sangat memuji usaha pihak Pejabat Daerah Bau dan semua pihak yang terlibat menganjurkan pesta tahunan ini kerana ia banyak membantu masyarakat khasnya peniaga kecil seperti kami untuk menambah pendapatan.

“Bukan itu sahaja, saya berpendapat penganjuran pesta ini secara tidak langsung mempromosikan daerah ini dan produk kraf tangan kaum Bidayuh kepada masyarakat luar,” katanya yang merupakan salah seorang daripada 14 penjual kraf tangan terdapat di pesta itu.

Cecilia yang berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang jahitan menambah, selepas pesta ini dia akan menyertai pameran jualan bertempat di Tebingan Kuching pada 28 Ogos hingga 7 September ini.

Bagi ibu kepada tiga orang anak Connie Lenny, 32, berkata, pesta itu memberi peluang kepada dia dan peniaga lain menambahkan pendapatan berbanding hari biasa.

“Setiap kali tibanya pesta ini, saya teruja dan sudah membuat beberapa perancangan bagi memastikan jualan disediakan mampu menampung kebanjiran pengunjung.

“Ternyata, jualan saya semasa pesta ini bertambah dan saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak penganjur kerana menganjurkan pesta yang sangat meriah ini,” jelasnya.

Mempunyai kemahiran membuat aksesori berasaskan manik selama enam tahun, Connie memberitahu, salah satu keistimewaan aksesori buatannya ialah menggunakan manik dari tumbuhan bernama ‘browan.’

“Selain manik biasa, saya menggunakan ‘browan’ yang mana keistimewaannya adalah apabila semakin lama dipakai ia akan menjadi semakin berkilau (tidak seperti manik biasa yang hilang kilauannya),” jelasnya menambah ‘browan’ boleh dibeli dengan harga RM6 sekilogram.

Ceciilia yang berasal dari Kampung Suba Bandar menambah, orang ramai yang berminat untuk melihat aksesorinya bolehlah melawat ke laman sosial Facebooknya iaitu ‘Beadwork by Connie.’

Sementara itu, bagi pemilik Rien Accessories dari Kampung Jagoi Pinomu, Haddrien Attay, 36, berkata, penganjuran program itu sangat dialu-alukan dan sentiasa ditunggu olehnya dan rakan-rakan setiap tahun.

“Syukur kerana Bau mempunyai pesta seperti ini setiap tahun. Dengan adanya pesta ini, bukan sahaja penduduk Bau malah peniaga dari sekitar kawasan Bau dapat mencari rezeki tambahan.

“Justeru, saya berharap penganjuran pesta ini kekal sampai bila-bila,” ujarnya gembira.

Selain dimeriahkan dengan jualan, Pesta Tasik Biru 2014 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti acara senamrobik, larian ‘Fun Run,’ pameran, jualan makanan dan minuman, kursus pendek serta promosi pendidikan.

Majlis penutupan akan dilakukan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri James Dawos Mamit pada hari ini, jam 1.45 petang.