Wasiat pejuang di pustaka Miri

0

KHAZANAH: Lucas menunjukkan salinan surat wasiat Rosli Dhoby yang dipamerkan di Pustaka Miri.

MIRI: Salinan wasiat pejuang kebebasan Rosli Dhoby yang ditulis untuk ayah dan ibunya semasa menjalani hukuman penjara di Kuching pada 24 Februari 1950 antara peninggalan sejarah berharga dipamerkan di Pustaka Miri.

Sepupu allahyarham, Lucas Johny semalam berkata pameran memberi peluang kepada penduduk khasnya belia dan pelajar mengenali Rosli Dhoby secara lebih dekat.

“Koleksi barangan dipamerkan diberikan sendiri oleh ibu dan ahli keluarga Rosli kepada abang saya untuk disimpan, dikumpul sejak 1950-an,” katanya yang turut gemar mengumpul barangan antik sejak 1968.

Selain wasiat, turut dipamerkan ialah minyak rambut dan pen kegemaran Rosli serta mesin taip yang kerap digunakan oleh beliau.

Koleksi lain ialah mesin jahit milik ibu yang digunakan membuat pakaian Rosli serta botol susu kaca yang digunakan untuk menyusu Rosli ketika masih bayi.

Lucas, 70, berkata ramai pihak mahu Pustaka Miri dan beliau menganjurkan semula pameran itu sejak mengunjungi pameran sama julung kali pada September 2011.

Pengunjung juga boleh membaca rencanarencana dari akhbar tentang Rosli Dhoby yang turut dipamerkan di lobi Pustaka Miri.

Pameran Kemerdekaan Perjalanan Hidup Rosli Dhoby di Pustaka Miri akan berakhir pada 19 September ini.

Sehubungan itu, program bicara bertajuk ‘Berani Mati Demi Tanahair: Wira Muda Bernama Rosli Dhoby’ akan diadakan pada 3 September ini bermula jam 2.30 hingga 4.30 petang di Auditorium Pustaka Miri.

Lucas yang ditemani abangnya, Tahar Johny dan Rosli Johny dijemput untuk menjayakan program berkenaan.

Kemasukan adalah percuma.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Aziz Bujang dan Sofi na Tan di Pustaka Miri menerusi talian 085-422525.