MGTA, SMK Three Rivers unggul

0

Oleh Borhaniza Ali Basah //

Kejohanan Taekwondo Sekolah-Sekolah Sarawak Ke-5 dan Jemputan Borneo edisi ke-4

SIBU: Kelincahan dan ketangkasan atlet taekwondo SMK Three Rivers Mukah dan Main Gym Junior (MGTA) dari Sibu berjaya mengungguli Kejohanan Taekwondo Sekolah-Sekolah Sarawak Ke-5 dan Jemputan Borneo Ke-4 2014 di Dewan Alamas, SMK Kampung Nangka Sibu di sini semalam.

Pasukan SMK Three Rivers membawa pulang Piala Pusingan YB Abu Seman Jahwie setelah dinobatkan sebagai juara keseluruhan sekolah menengah.

MGTA yang membawa lebih 30 atlet muda, meraikan kemenangan bergaya setelah berjaya merampas Piala Pusingan Persatuan Taekwondo Global Sarawak (SGTA) pada kejohanan keseluruhan pertandingan – Piala SGTA dari pasukan Persatuan Taekwondo Sabah (PTS) yang dipegang dua tahun berturut-turut.

Sebanyak 10 kategori dipertandingkan pada kejohanan kali ini iaitu 12 tahun ke bawah, 15 tahun ke bawah, 17 tahun ke bawah dan terbuka membabitkan acara individu, berpasukan, pasangan serta ‘sparing’ individu dan berpasukan.

Kejohanan tahun ini menampilkan 14 pasukan beraksi merebut gelaran iaitu MRSM Mukah, SMK Three Rivers, SMK Mukah, SMK Agama, SMK Rosli Dhoby, PRS, MGTA, Politeknik Kuching, pasukan tuan rumah SMK Kampung Nangka serta penyertaan baharu dari SMK St Patrick Mukah, SMK Bintulu, SJK Chong Boon dan SK St Patrick Mukah.

Pengurus pasukan MGTA, Noor Shafizza berkata kejohanan ini memberi kejutan kepada pasukan mereka.

“Masa latihan singkat serta saingan agak sengit dari pasukan pelawat terutamanya Sabah membuatkan kami tidak percaya berjaya memenangi piala,” kata Shafizza.

Bagi pengurus pasukan SMK Three Rivers, Mislia Sahar beliau juga tidak menyangka berjaya menandingi MRSM Mukah dengan merampas gelaran juara dari pasukan tersebut dengan menjuarai kejohanan secara keseluruhan bagi kategori sekolah menengah.

Sepanjang dua hari kejohanan, lebih 250 atlet menyertainya dengan penglibatan sebanyak 14 buah pasukan.

Antara tetamu hadir menyaksikan saingan peringkat akhir ialah Grandmaster Datuk Dr Sabree Salleh, Presiden SGTA Abang Ahmad Zaini Abang Fauzan serta guru-guru pengiring.