Pemerhatian ikan lumba-lumba hanya di Sarawak

0

Oleh Hamimi Kassim //

Ia boleh didapati di Telaga Air, Semenanjung Bako, Sungai Sibu Laut, Sungai Salak dan Sungai Santubong

Sarawak satu-satunya negeri yang mempunyai pemerhatian ikan lumba-lumba sebagai aktiviti pelancongan komersial.

KUCHING: Mengambil masa kira-kira 45 minit pemanduan dari Kuching, kawasan Santubong menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjungnya.

Terdapat pelbagai daya tarikan semula jadi terdapat di sini seperti Gunung Santubong, hutan bakau, sungai, pesisiran pantai, pulau serta kukup-kukup lumpur.

Habitat berlainan ini merupakan rumah kepada pelbagai jenis hidupan liar termasuk ikan lumba-lumba dan secara langsungnya menjadikan Santubong sebagai salah satu destinasi terbaik untuk menyaksikan keunikan dan keindahan kehidupan mereka secara semula jadi.

Pada 24 Ogos lalu, penulis berpeluang mengikuti sesi pemerhatian ikan lumba-lumba anjuran Persatuan Pencita Alam Cawangan Kuching (Malaysian Nature Society – MNSKB) di Permai Rainforest Resort.

Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah bagi meningkatkan kesedaran terhadap ikan lumba-lumba yang terdapat di persekitaran perairan Kuching.

Ini kerana masih ramai antara rakyat negeri ini dan Malaysia amnya tidak mengetahui bahawa Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai pemerhatian ikan lumba-lumba sebagai salah satu aktiviti pelancongan komersial.

Aktiviti ini merupakan antara aktiviti sempena Santubong Nature Festival (SNF) anjuran MNSKB yang akan diadakan pada 8 dan 9 November akan datang.

SNF bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam terhadap kepentingan kawasan Santubong dari segi ekologi, alam semula jadi dan sejarah dianjurkan bersama Permai Rainforest Resort dan disokong oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Muzium Sarawak.

TAKLIMAT: Peserta mendengar taklimat keselamatan daripada Cindy (dua kanan) sebelum menyaksikan
ikan lumba-lumba.

Semasa pemerhatian tersebut, penulis bersama tiga wartawan tempatan dan enam peserta telah ditemani Felo Penyelidik Projek Ikan Lumba-Lumba Sarawak, Institut Biodiversiti dan Pemuliharaan Alam Sekitar, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Cindy Peter, 28.

Menggunakan bot yang dapat memuatkan sembilan penumpang, perjalanan hampir 10 minit diperlukan untuk sampai ke muara Sungai Salak yang dikatakan lokasi paling kerap ikan lumba-lumba jenis Irrawady kelihatan.

Walaupun cuaca hujan dan laut bergelora dengan kuat, penulis bertuah kerana berpeluang menyaksikan sendiri sekumpulan ikan lumba-lumba jenis Irrawady yang timbul di permukaan muara Sungai Salak.

Walaupun hanya kelihatan dalam lima saat dan timbul sebanyak tiga kali sahaja, penulis berasa sungguh teruja dan gembira kerana ia merupakan kali pertama menyaksikan ikan lumba-lumba secara dekat di habitatnya.

Cindy yang ditemui selepas pemantauan memberitahu, di Kuching, ikan lumba-lumba boleh didapati di kawasan perairannya yang merangkumi Telaga Air di barat dan Semenanjung Bako di timur, serta sungai-sungai yang menghubungkan kawasan-kawasan ini, iaitu Sungai Sibu Laut, Sungai Salak dan Sungai Santubong.

Menurutnya yang telah melakukan penyelidikan selama enam tahun terhadap ikan lumba-lumba di sini, terdapat beberapa etika yang harus dipatuhi ketika memerhati ikan tersebut.

“Terdapat beberapa perkara yang perlu dipatuhi sekiranya ingin melihat ikan lumba-lumba iaitu tidak boleh membawa bot terlalu laju dan menukar arah secara tiba-tiba kerana ia boleh mencederakan ikan lumba-lumba terutama anaknya.

“Justeru, adalah penting untuk menyaksikan ikan lumba-lumba ini bersama orang yang mempunyai pengetahuan seperti MNSKB atau agensi yang diiktiraf,” ujarnya.

Menurutnya, kewujudan ikan lumba-lumba di perairan ini mampu membawa keseimbangan kepada ekosistem.

Ketika ditanya mengenai masa sesuai untuk melihat ikan lumba-lumba di situ, jelasnya, mamalia itu dapat disaksikan hampir setiap hari pada jam 9 pagi hingga 4 petang di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Cindy menasihati nelayan sekiranya terdapat ikan lumba-lumba terlekat pada jaring mereka agar segera menghubungi pihak bertanggungjawab dengan segera.

Bercerita mengenai aktiviti pemantauan tersebut, peserta telah mendaftar kepada MNSKB sebelum 20 Ogos lalu dengan bayaran pendaftaran serta bot sebanyak RM80 (dewasa) dan RM40 (kanak-kanak bawah 12 tahun).

Manakala kanak-kanak berusia bawah lima tahun tidak digalakkan mengikuti sesi ini.

Bagi mereka yang mempunyai keahlian MNS, kadar bayaran untuk dewasa dan kanak-kanak adalah RM50 dan RM25 masing-masing.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti ini bolehlah menghantar e-mel ke [email protected] atau dengan melayari laman web http://mnskuching.blogspot.com.