Bola tampar: Sarawak kekalkan kejuaraan

0

SIBU: Juara bertahan Sarawak terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menundukkan tuan rumah Selangor 3-2 (21- 25, 26-24, 22-25, 27-25, 15-10) bagi kategori Wanita Kejohanan Bola Tampar Wanita di Shah Alam baru-baru ini.

Selain juara keseluruhan, pasukan wanita Sarawak juga mengungguli empat kategori lain iaitu Anugerah Pemain Terbaik, Anugerah Jurulatih Terbaik, Anugerah Penerima Terbaik dan Anugerah ‘Setter’ Terbaik.

“Ia sesuatu yang sangat bermakna dan kami percaya akan melangkah lebih jauh lagi,” kata ketua jurulatih pasukan Pang Sii Chuong ketika dihubungi.

Pang menyifatkan kemenangan tersebut adalah hasil usaha keras para pemain selain sokongan padu daripada semua pihak.

Jurulatih Bola Tampar Kebangsaan merangkap Pengerusi Persatuan Bola Tampar Sibu Moh Ung Ming turut hadir memberi sokongan kepada pasukan Sarawak.

Pasukan wanita negeri yang diterajui oleh bekas pemain negara Luk Teck Hua dan pemain kebangsaan Angela Wa.

Pada aksi final, Sarawak tumpas pada set pertama dengan kiraan mata 25-21.

Sarawak kembali bangkit pada set kedua dengan memenangi perlawanan tersebut dengan 26-24.

Pada set ketiga, kedua-dua pasukan bermain secara berhati- hati dan pasukan Selangor selaku tuan rumah memanfaatkan peluang tersebut dengan menundukkan Sarawak menerusi kiraan mata 25-22.

Sarawak bangkit sekali lagi pada set keempat dan set kelima sekaligus menjuarai kejohanan berkenaan.

Bagi kategori lelaki, Sarawak menduduki tempat ketiga.

Skuad lelaki Sarawak yang bersaing dalam Kumpulan B bersama Kuala Lumpur, Johor dan Pahang terlebih dahulu menewaskan Kuala Lumpur 3-1 dalam perlawanan suku akhir sebelum tewas kepada Selangor 1-3 pada aksi separuh akhir.