Pelajar Dayak usah bimbangkan kewangan jika lanjut pengajian

0

SRI AMAN: Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan dan Pemasaran) Datuk Mong Dagang berkata, pelajar Dayak tidak perlu bimbang tentang masalah kewangan sekiranya berminat melanjutkan pengajian masing-masing dalam bidang teknikal.

Katanya mereka boleh cuba memohon bantuan kewangan yang disediakan Yayasan Pendidikan Teknikal Rakyat Sarawak atau lebih dikenali sebagai Yayasan TERAS.

Bagaimamanpun menurut Mong, peluang untuk memohon bantuan kewangan Yayasan TERAS harus dimanfaat oleh para pelajar terutama bagi golongan kurang berkemampuan yang datang dari kawasan luar bandar.

“Saya yakin lebih ramai pelajar dapat mengikut kursus yang ditawar oleh pelbagai institusi dalam negara ini pada masa akan datang sekiranya pelajar terbabit berani berbuat demikian,” kata beliau.

Mong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Pakit B, Sri Aman kelmarin.

Semenatara itu katanya, Yayasan TERAS ditubuh pada 1996 oleh parti yang kini telah dibubarkan iaitu Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).

Sementara itu beliau turut mengajak seluruh masyarakat di kawasan DUN Bukit Begunan agar sentiasa memberi sokongan padu kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Sokongan masyarakat terhadap BN adalah amat penting agar kawasan penempatan mereka tidak ketinggalan dari segi arus pembangunan berbanding kawasan-kawasan lain di negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu Mong mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada JKKK dan Biro Wanita Rumah Panjang Pakit B.

Manakala RM15,000 lagi untuk JKKK dan biro wanita Rumah Panjang Pakit A.

Turut hadir pada majlis itu Walikota Sri Aman Richard Tawan Sedu, Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya Sri Aman Cassidy Morris, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman Dorris Synia dan Penyelia Parlimen P.203 Lubok Antu Jeoffry Baja Ricky Maba.