Empat suspek ditahan bantu siasatan kes pecah rumah

0

DIRAMPAS: Kereta Alza yang berjaya dirampas.

SIBU: Polis menahan empat suspek lelaki untuk membantu siasatan kes pecah rumah di Batu 8, Jalan Desa Satria di sini malam Isnin lalu.

Bertindak daripada maklumat, pasukan polis D4 diketuai Inspektor Mohd Firdaus menahan seorang lelaki Cina berumur 35 tahun di sebuah rumah di Jalan Jerrwit Timur 2, di sini jam 10 malam yang sama.

Polis merampas sebuah kereta Perodua Alza berwarna putih dipercayai digunakan suspek dan tiga rakannya melakukan jenayah.

Hasil siasatan lanjut, polis kemudian diiringi suspek menahan seorang suspek lelaki berumur 22 dan 41 tahun di Jalan Tong Sang dan Jalan Merdeka di sini.

Polis kemudian bertindak menahan seorang lagi rakan suspek yang berumur 46 tahun di Jalan Tiong Hua, di sini dan merampas sebuah motosikal.

Difahamkan pengadu, 55, berbangsa Cina baharu sahaja pulang ke rumah apabila dia ternampak dua lelaki yang tidak dikenali sedang keluar dari rumahnya.

Pengadu cuba mengejar mereka berdua tetapi terjatuh dalam aksi kejar-mengejar.

Pengadu terus membuat laporan polis pada petang yang sama.

Pengadu melaporkan wang tunai dan barang kemas disimpan di dalam rumah didapati hilang dan kerugian dianggarkan lebih RM10,000.