Sarawak B tersingkir

0

Oleh Harry Ilias //

Namun Johnny berbangga dengan peningkatan anak-anak buahnya

KUCHING: Kempen Sarawak pada Kejohanan Piala Belia Bawah 19 tahun di Melaka berakhir setelah terkandas di peringkat suku akhir kelmarin.

Anak-anak buah Johnny Dominicus terpaksa menggigit jari setelah dikejutkan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dengan 1-0 dalam perlawanan yang cukup sengit berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Sekalipun tersingkir, Johnny tetap berbangga dengan peningkatan ditunjukkan oleh anak-anak buahnya sepanjang kejohanan itu.

Johnny berkata, pemain- pemain semakin menunjukkan peningkatan terutamanya dari segi keyakinan dan corak permainan mereka.

“Memang sangat kecewa kerana kita berpeluang untuk mara lebih jauh. Pemain menunjukkan semangat yang cukup tinggi untuk memburu kemenangan namun nasib tidak menyebelahi kita,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, beliau tetap berpuas hati dengan para pemainnya kerana berjaya memperbaiki pencapaian pada edisi tahun lalu.

Pada kejohanan itu, penyerang Sarawak Abdul Rahim berpeluang dinobatkan selaku penjaring terbanyak setelah menyumbat sembilan gol.

“Barisan pemain sama akan diturunkan bagi mengharungi kempen Piala Sarawak yang akan berlangsung pada 20 hingga 27 September depan,” katanya.

Sarawak melangkah ke suku setelah mencatat tiga kemenangan dan sekali tewas dalam saingan peringkat Kumpulan C.

Mereka tumpas 1-7 di tangan Kedah pada perlawanan pembukaan, namun berjaya bangkit mencatat tiga kemenangan berturut-turut dengan menewaskan Sabah 4-1, Kuala Lumpur 6-1 dan tuan rumah, Melaka dengan 3-1.

Kejohanan Piala Belia Bawah 19 tahun akan berakhir pada 2 September depan.