Sarawak kecundang lagi di pangkuan Kedah

0

KUCHING: Hasrat Sarawak bangkit untuk membalas dendam tidak kesampaian apabila kecundang lagi tangan Kedah 2-1 di Stadium Darul Aman, Kedah dalam saingan pusingan kedua peringkat kumpulan Piala Malaysia 2014 malam tadi.

Bagaimanapun, skuad Ngap Sayot melakukan kejutan ke atas Kedah dengan gol tunggal dijaringkan oleh pemain import tempatan, S Chanthuru pada minit ke-21 hasil umpanan cantik daripada Ryan Alan Griffiths.

Perlawanan kedua-dua pasukan agak seimbang separuh masa pertama apabila masing-masing melakukan serangan demi serangan ke kubu lawan untuk memburu kemenangan.

Begitupun, kedua-dua pasukan bermain dengan sepuluh orang pemain pada penghujung babak pertama setelah pemain Kedah, Hashim Shafizan dan pemain Sarawak, Junior Eldstal dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran.

Tamat babak pertama, Sarawak nampak tersenyum lebar apabila mendahului pasukan tuan rumah, Kedah dengan 1-0.

Namun, kegembiraan skuad Ngap Sayot tidak kekal lama apabila Kedah berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-51 hasil ledakan pemain importnya, Billy Mehmet.

Sepuluh minit sebelum perlawanan babak kedua berakhir, Sarawak terpaksa beraksi dengan sembilan orang pemain setelah pemain import, Gabor Gyepes dilayangkan kad merah oleh pengadil.

Minit-minit terakhir perlawanan Kedah menghantar Sarawak pulang dengan tangan kosong apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi Mohd Shazwan.

Sarawak akan meneruskan perjuangan dengan menanti kunjungan Perak di Stadium Negeri Kuching pada Sabtu ini (30 Ogos).

Skuad Ngap Sayot akan menamatkan kempen Piala Malaysia musim ini dengan menentang Terengganu di Kuala Terengganu pada Rabu depan (3 September).