56 pelajar SM Wong Nai Siong menerima biasiswa RM578,489 daripada yayasan

0

BIASISWA: Henry Lau (empat kiri) memberi biasiswa kepada seorang pelajar sambil diperhatikan Siew Nguong (dua kiri), Vincent Lau (tiga kanan), Lu (dua kanan) serta yang lain.

SIBU: Seramai 56 pelajar Sekolah Menengah (SM) Wong Nai Siong menerima biasiswa berjumlah RM578,489 daripada Yayasan SM Wong Nai Siong.

Berucap pada majlis itu petang kelmarin, Pengetua SM Wong Nai Siong Lu Yew Hiung berkata, daripada 56 pelajar itu, 20 adalah penerima baharu yang dipilih menerima biasiswa tahun ini.

“Bantuan ini telah banyak membantu para pelajar di sekolah ini sejak tahun 2011. Kebanyakan penerima akan atau sedang melanjutkan pelajaran di universiti di Taiwan, China, Singapura, Malaysia dan sebagainya,” ujarnya.

Sejak ditubuhkan pada 2011, Yayasan SM Wong Nai Siong telah membelanjakan kira-kira RM1.43 juta.

Lu juga berterima kasih kepada Lembaga Pengarah Yayasan yang diketuai oleh Dato Henry Lau atas bantuan yang telah diberikan kepada pihak sekolah.

Sementara menurut Lau, beliau gembira kerana dapat memainkan peranan dalam membantu para pelajar sekolah terbabit yang memerlukan.

Bantuan katanya, diharap dapat membantu para pelajar melanjutkan pengajian ke peringat yang lebih tinggi.

Hadir sama ialah Pengerusi Kehormat Lembaga Pengurusan Sekolah Lau Siew Nguong, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Temenggung Vincet Lau serta yang lain.