AKYBMS disaran anjurkan Pesta Budaya Melayu, pelihara budaya

0

KUCHING: Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) disaran menganjurkan Pesta Budaya Melayu sebagai inisiatif memelihara kebudayaan yang ada.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata AKYBMS boleh merangka program itu dengan mengadakannya misalnya dua atau tiga tahun sekali, yang diyakini akan mendapat sambutan menggalakkan.

“Saya mencadangkan kepada Amanah Khairat dengan memikirkan langkah lebih baik dalam menyebarkan tentangnya kepada masyarakat misalnya mengadakan Pesta Budaya Melayu.

“Saya percaya kalau kita dapat melibatkan kaum lain seperti Iban, Bidayuh dan Orang Ulu, ia pasti akan dapat menghasilkan satu lagi pesta, iaitu Pesta Bumiputera pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Negeri 2014 anjuran AKYBMS yang dihadiri isterinya Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem serta isteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua juga Pengerusi AKYBMS Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini, malam kelmarin.

Taib berharap usaha berkenaan dapat dirancang kerana ia merupakan satu program yang dapat mengeratkan hubungan bukan sahaja kaum Melayu tetapi kaum lain yang ada.

“Dengan pengalaman Ketua Menteri dalam jawatan sebagai pengerusi Amanah sebelum ini dan pengaruh beliau di kalangan pelbagai kaum, kita mempunyai peluang untuk menunjukkan bagaimana pesta sedemikian dapat menjayakan usaha kita,” katanya.

Taib berkata beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan program berkenaan sebagai usaha untuk menghidupkan dan memelihara warisan kebudayaan berkenaan.

“Dalam kita menghadapi perubahan zaman dan kesibukan masing-masing, saya harap budaya yang ada dapat terus dipelihara dan amat berharap kerajaan mempertimbangkan perkara ini,” tegasnya.

Sementara itu Awang Tengah dalam ucapannya berkata, masyarakat Melayu harus menyiapkan diri untuk merebut peluang dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Katanya dalam konteks itu, ibu bapa harus memberi perhatian khusus dalam perkara berkenaan agar anak-anak Melayu yang berada di alam persekolahan memahaminya.

“Dari segi ekonomi, masyarakat Melayu harus berusaha meningkatkan penglibatan dalam bidang ekonomi dan perniagaan untuk menjana pendapatan tinggi.

“AKYBMS juga kini bergiat di semua bahagian untuk melibatkan semua masyarakat Melayu di seluruh Sarawak bukan sekadar di Kuching, mulai tahun ini dan tahun-tahun akan datang,” katanya.

Awang Tengah memberitahu, amanah juga merancang dan akan melaksanakan pelbagai program antaranya pembinaan Wisma Melayu di Petra Jaya yang akan menjadi mercu tanda masyarakat Melayu di Sarawak, acara bulanan dan acara tahunan, penyelidikan dan penerbitan.