Emart Batu Kawa cawangan terbesar di Sarawak, dibuka 24 jam

0

SIMBOLIK: Lo (tiga kanan) bersama yang lain bersedia memotong reben sebagai simbolik praperasmian Emart Batu Kawa, yang merupakan pusat komersial terbesar bagi kumpulan itu dan dibuka 24 jam.

KUCHING: Kumpulan Syarikat Emart semalam membuka satu lagi cawangannya iaitu Emart Batu Kawa, yang merupakan cawangan terbesar syarikat itu di Sarawak.

Bukan sahaja pusat komersial terbesar tetapi Emart Batu Kawa juga merupakan pasar raya pertama di Sarawak yang dibuka selama 24 jam sebagai kemudahan kepada pelanggan untuk membeli-belah.

Pasar raya baharu itu juga mempunyai 99 unit rumah kedai selain menyediakan sebanyak 1,600 tempat letak kereta.

Sebagai kemudahan kepada pelanggannya juga, Emart yang dibina di tanah seluas 8.9 ekar dengan keluasan 75,000 kaki itu, turut diliputi 75 peratus pendingin hawa.

Majlis prapembukaan itu semalam dirasmikan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang dan dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan Ngu Ting Sii serta Pengurus Besarnya Ling Tien Beng.

Lo dalam ucapannya berkata, MPP amat menggalakkan ahli perniagaan atau mereka yang berminat melakukan pelaburan seumpama itu dalam usaha membangunkan kawasan serta masyarakat di bawah bidang kuasa MPP.

“Kini kita tahu jangkaan daripada masyarakat kita amat tinggi terutama dari segi pembangunan yang dilaksanakan seumpama ini.

“Maka itu saya berharap MPP dapat memenuhi jangkaan itu dengan menjalin kerjasama bersama Kumpulan Emart bagi membolehkan kita menyampaikan perkhidmatan serta manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya,” kata beliau.

Bagaimanapun katanya, adalah amat penting juga rakyat memberi sokongan dalam usaha sedemikian bagi membolehkan kerajaan membangunkan mereka.

Sementara itu Ling dalam ucapannya berkata, Emart adalah sebuah syarikat yang mengutamakan keperluan dan rakyat dan tanggungjawab sosial seperti memberi latihan berunsur pendidikan selain memberi ceramah kepada masyarakat.

Misalnya ujar beliau, mereka mengadakan ceramah motivasi di sekolah-sekolah rendah, kem kepimpinan remaja di sekolah menengah serta kursus perniagaan dan sebagainya.

“Hari ini merupakan hari istimewa kepada Emart apabila kami melancarkan cawangan kami yang merupakan terbesar setakat ini.

“Emart Batu Kawa ini adalah cawangan keenam kami dan di sini juga saya ingin mengumumkan berita baik bahawa Emart Batu Kawa ini akan beroperasi selama 24 jam untuk memudahkan pelanggan membeli-belah pada bila-bila masa,” katanya.

Ling memberitahu, kumpulan itu berjanji akan sentiasa menyediakan barangan berkualiti, perkhidmatan cekap dan suasana membeli-belah yang menyeronokkan.