Penjenamaan ‘AZAM Grill Burger’ diperkenal kepada usahawan di Kuching, Samarahan

0

KUCHING: Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB) dengan kerjasama syarikat Azam Ice Cream Sdn Bhd kini memperkenalkan konsep penjenamaan baharu ‘AZAM Grill Burger’ kepada usahawan burger bahagian Kuching dan Samarahan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata, pengenalan penjenamaan baharu itu bagi meningkatkan jualan, imej, produktiviti dan tahap kebersihan peniaga burger.

Katanya untuk itu seramai 31 peserta telah dipilih dan diberikan bantuan berupa peralatan moden serta bekalan bahan mentah yang berkualiti.

“Seramai 31 peserta terlibat dalam projek ini melibatkan usahawan burger dari bahagian Kuching dan Samarahan yang akan menerima mesin ketuhar untuk membuat ‘grill burger’ yang lebih bersih dan berkualiti.

“Selain bantuan mesin, mereka juga diberikan dana sebanyak RM300 seorang untuk modal permulaan bagi memulakan perniagaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kursus Keusahawanan dan Penyerahan Peralatan Perniagaan Grill Burger di Dewan Pusat Pameran dan Promosi Industri Sarawak (SIPEC) di sini semalam.

Terdahulu, dalam ucapannya Menteri Muda Perancangan Sumber itu berkata, sebelum ini usahawan burger menggunakan peralatan lama ‘plate’ besi yang kadangkalanya berkarat dan tidak bersih.

Naroden menjelaskan bahawa di bawah projek itu, kesemua usahawan burger akan dilatih dan dipantau secara berterusan sehingga mereka mampu berdiri kukuh dalam perniagaan berkenaan.

Beliau memberitahu, pembangunan pesat di negeri ini membuka peluang perniagaan luas dan permintaan tinggi terhadap makanan segera.

“Trend generasi masa kini lebih kepada makanan segera seperti burger yang harus anda manfaatkan untuk meningkatkan ekonomi dan pendapatan kamu sendiri.

“Justeru, saya berharap pengetahuan dan ilmu yang diperolehi dalam kursus ini harus digunakan sebaik-baiknya untuk meningkatkan perniagaan anda,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu sekiranya projek itu menunjukkan potensi memberangsangkan, ia akan dikembangkan ke bahagian lain di negeri ini.

Hadir sama Pengarah UPUB Kameri Affandi, Pengurus AZAM Ice Cream Sdn Bhd Mahmud Sabli dan tetamu kehormat lain.