‘Magic Rollers’ ke peringkat kebangsaan

0

Oleh Florence Nervyn

 

SIBU: Inovasi projek ‘Magic Rollers’ yang menggunakan barangan kitar semula dan kos yang rendah membawa tuah kepada pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist yang memenangi Pertandingan Inovasi Kelab dan Persatuan Sekolah Peringkat Negeri Sarawak 2014.

Projek hasil inovasi Persatuan Sains dan Matematik telah dicipta pada tahun lepas dan pernah memenangi Pertandingan Inovasi Kelab dan Persatuan Sekolah Peringkat Daerah yang berlangsung di SMK Tung Hua pada 14 Ogos lalu.

Menurut guru pengiringnya, Wong Ley Huong, idea menghasilkan ‘Magic Rollers’ tercetus disebabkan masalah ketika pelajar menarik kerusi di atas lantai untuk memindahkan kerusi yangmenyebabkan bunyi bising dan lantai dewan sekolah tercalar, seterusnya meningkatkan kos penyelenggaraan.

‘Magic Rollers’ dicipta dengan menggunakan barangan kitar semula seperti tin makanan terpakai yang sama saiz dan roda serta skru yang dipasangkan dengan harga yang rendah.

‘Magic Rollers’ dapat menjimatkan tenaga dan masa.

“Selain itu, ‘Magic Rollers’ dapat meminimumkan bunyi bising dan mengurangkan risiko lantai tercalar ketika memindahkan kerusi, mudah dibawa dan disimpan, mempunyai nilai komersil, mesra alam serta mengurangkan kos penyelenggaraan,” jelasnya.

Wong turut melahirkan rasa gembira dan teruja setelah nama pasukan bimbingannya dengan Wong Nge Ping dan Francisa Lau diumumkan johan pertandingan memandangkan saingan kali ini cukup sengit dan keputusan di luar jangkaan.

“Kita berusaha akan membawa nama baik SMK Methodist dan Sarawak ke peringkat yang lebih membanggakan dan mencapai pencapaian yang cemerlang pada pertandingan peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Terengganu, awal November depan,” ujarnya.

SMK Methodist dan SMK St Anthony, Sarikei bakal mewakili Sarawak ke Pertandingan Inovasi Kelab dan Persatuan Peringkat Kebangsaan 2014 di Terengganu dari 3 hingga 5 November ini.

SMK St Anthony, Sarikei dengan projek ‘Sabun SAS’ memenangi tempat kedua pertandingan yang berlangsung di SMK Sacred Heart, semalam.

Pasukan SMK Lake yang mewakili kontinjen PPD Bau pula diumumkan pemenang tempat ketiga dengan projek yang diberikan nama ‘Pengelap Serba Guna’.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri, Abit Hong. Hadir sama Ketua Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan PPD Sibu Lim Chun Len.

Sementara itu, SMK Agama Saratok, SMK Tatau, SMK Kanowit, SMK Dalat, SMK Columba, SMK Beladin dan SMK Tong Hua masing-masing menerima Anugerah Khas Juri.

SMK St Teresa memenangi tempat pertama kategori pembentangan terbaik, diikuti SMK Asajaya mendapat tempat kedua dan SMK Bekenu di tempat ketiga.

Bgai kategori gerai pameran terbaik, johan dimenangi SMK Lake, diikuti SMK Columba di tempat kedua dan SMK Methodist mendapat tempat ketiga.

Sebanyak 30 buah sekolah menengah telah mengambil bahagian pada pertandingan yang berlangsung dari 27 hingga 29 Ogos itu.