PETRONAS serah 10 tangki air untuk Kampung Pridan

0

SERIAN: Petronas Dagangan Berhad (PETRONAS) telah melenyapkan igauan ngeri penduduk Kampung Pridan yang telah lama menginginkan bekalan air bersih terutama sekali apabila tiba musim kemarau panjang.

Menurut Pengurus Terlantik PETRONAS Wilayah Sarawak, Abang Abdul Wahap Abang Abdul Majid, pihaknya menyerahkan 10 tangki air bermuatan 400 liter kepada penduduk kampung terbabit.

“Setelah mengerahkan kakitangan PETRONAS dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) untuk mencari keperluan masyarakat setempat yang memerlukan bantuan selain memberi pendedahan kepada anggota kerja, kami akhirnya bertemu dengan kampung ini.

“Menyedari juga keperluan itu, penderitaan penduduk kampung yang terpaksa menggunakan air tercemar dari Sungai Kedup kadangkala berpasir dan berwarna seperti teh susu untuk tujuan mandi, minum dan memasak selama tujuh tahun kebelakangan menyentuh hati kami.

“Justeru, selepas ini tangki air akan diletakkan di seluruh kawasan perkampungan dan saluran paip akan dibaiki berserta penapis di empangan Sungai Mangu dibersihkan. Kerja-kerja ini juga akan kita jalankan di tempat lain di seluruh negara,” katanya ketika berucap merasmikan projek ‘Water for Life’ di Kampung Pridan , di sini, semalam.

Pihaknya juga membelanjakan sejumlah RM60,000 bagi semua tujuan tersebut yang telah dijalankan sejak dua minggu lepas dibantu oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Kebajikan Air di kampung terbabit dan MNS bagi melaksanakannya.

PETRONAS juga bakal meluaskan bantuannya itu ke negeri Kelantan disusuli Johor dan sebelum ini telah berjaya mengadakan usaha yang sama ke negeri Perak dan Pahang.

Katanya, penduduk kampung berhak mendapat kehidupan yang lebih bermakna sambil menambah setiap tangki itu bermuatan 400 liter air bagi kegunaan pada satu-satu masa.

Sementara itu, Ketua Pendidikan Bahagian MNS, I.S Shanmugaraj berkata, AJK Kebajikan Air di kampung itu akan mengadakan gotong-royong untuk membuka sebuah lagi empangan dengan luas 18×6 kaki dan kedalaman 4 kaki bersama penapis air yang lebih baik di atas empangan graviti Sungai Mangu.

“Ia dianggarkan memakan kos sebanyak RM10,000 tanpa bantuan khidmat kontraktor serta bakal siap dalam tempoh sebulan untuk memberi lebih banyak bekalan air kepada penduduk,” ujarnya.

Empangan Sungai Mangu yang sedia ada jelasnya, tidak dapat memuatkan tadahan air yang mencukupi bagi keperluan penduduk dan mereka yang mendiami kawasan tanah tinggi di kampung itu adalah yang paling terjejas.

Sebelum ini juga, sewaktu musim kemarau (Jun hingga Julai) telah diberikan bekalan air tiga tangki setiap hari oleh pihak Jabatan Kerja Raya.

Turut hadir semalam ialah Ketua Kaum Kampung Pridan, Gregory Petrus.