Remaja tidak boleh malas tuntut ilmu

0

Oleh Rusnan Mustafa

 

KUCHING: Golongan remaja tidak boleh malas untuk menuntut ilmu bagi memastikan kecemerlangan diri pada masa hadapan, kata Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Menurut beliau, memperkasakan diri dengan ilmu adalah satu kewajipan setiap individu dan sudah terkandung di dalam al-Quran yang menggesa umat Islam menuntut ilmu.

“Untuk berjaya dalam hidup, kita perlu belajar dan menuntut ilmu kerana ia sudah menjadi tuntutan untuk berjaya dan cemerlang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Solat Hajat Perdana anjuran Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Satok di surau Kompleks Islam Baitulmal di sini kelmarin.

Abang Johari memberitahu, dalam memastikan anak muda menuntut ilmu, peranan ibu bapa perlu dimainkan dengan sebaik mungkin.

“Sebagai ibu bapa kita perlu melihat dan memantau anak-anak kita supaya mereka ini dapat menjadi seorang yang berjaya dan berguna pada masa kelak,” tambahnya.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata, ibu bapa mempunyai anak yang bakal menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu memastikan anak mereka bersiap sedia sebelum ujian tersebut.

“UPSR akan menentukan hala tuju anak kita, ke mana mereka akan perlu selepas ini dan menghadapi alam baharu di zaman (sekolah) menengah pula yang pastinya berbeza daripada sebelumnya,” ujarnya.

Majlis itu disertai 300 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang, SK Rakyat, SK Combined, SK St Joseph, SK St Teresa dan SJK Chung Hua No.4.

Hadir sama Ketua Pergerakan Pemuda PBB Satok Iskandar Sharkawi, Ustaz Mohd Ahir Ahmad dan tetamu kehormat lain.