Rodok treler

0

Oleh Rosemaria Buma

MALANG TIDAK BERBAU: Kelihatan anggota bomba mengangkat keluar mayat Winnie yang tersepit di tempat duduk penumpang bahagian depan dalam kemalangan di Jalan Persisir Pantai Bintulu-Miri berhampiran Suai, Niah awal pagi semalam.

MIRI: Dua maut selepas kereta jenis Proton Wira yang dinaiki oleh mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Persisir Pantai Bintulu-Miri berhampiran Sungai Telong, Suai di sini awal pagi semalam.

Kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Elexander Ngerantar, 37, dan Winnie Mangku, 35, dari Taman Jelita Off Taman Tunku di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintenden Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesah kejadian itu.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

“Sebelum kejadian sekitar jam 5.45 pagi itu, pasangan terbabit sedang dalam perjalanan dari Bintulu ke Miri.

“Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian, kereta yang dipandu Elexander telah merempuh bahagian belakang sebuah lori treler yang diletakkan di tepi jalan berkenaan,” katanya.

Akibat rempuhan itu, katanya, bahagian hadapan kereta mangsa terperosok di bawah lori, sekali gus menyebabkan kedua-duanya tersepit di tempat duduk masing-masing.

Sementara itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Similajau yang bergegas ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan tentang kejadian tersebut mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa.

Difahamkan, lori treler tersebut diletakkan di tepi jalan berkenaan kerana mengalami kerosakan, namun tidak meletakkan tanda kecemasan sebagai amaran kepada pengguna jalan raya lain.

Semasa kejadian, pemandu lori berusia 44 tahun bersama dua kelindannya sedang tidur di dalam kenderaan tersebut dan hanya menyedari kemalangan itu setelah terdengar bunyi kuat dan berasa sesuatu melanggar kenderaan mereka dari arah belakang.

Serentak itu, mereka keluar untuk melihat apa yang berlaku dan amat terkejut apabila mendapati kereta mangsa telah terperosok di bawah kenderaan mereka.

Berikutan itu, mereka menghubungi Klinik Kesihatan Batu Niah untuk meminta bantuan.

Dalam pada itu, menurut Stanley, polis akan menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui punca sebenar kemalangan tersebut.