Sibu kurang meriah dengan kibaran Jalur Gemilang

0

SURAM: Sekitar kawasan bandar Sibu yang lengang daripada kibaran Jalur Gemilang.

SIBU: Bandar Sibu kelihatan masih kurang meriah dengan kibaran Jalur Gemilang meskipun Hari Kemerdekaan akan disambut esok.

Tinjauan semalam mendapati, rumah-rumah dan premis perniagaan di pusat bandar seolah-olah tidak bersemangat menanti kedatangan hari bersejarah itu.

Seorang peniaga, Umar Jaffar, 49, berkata sambutan Hari Kemerdekaan di Sibu tahun ini agak suram berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Saya lihat pemilik kereta tidak meletakkan bendera pada kenderaan mereka berbanding beberapa tahun lalu di mana kebanyakan kereta akan dipenuhi dengan Jalur Gemilang.

“Apapun, setiap tahun saya akan pastikan rumah saya dipasang dengan Jalur Gemilang setiap kali tiba bulan Ogos,” kata Umar ketika ditemui di hadapan rumahnya.

Bagi Norliza Mohamad, 33, tragedi MH17 yang menimpa negara mungkin menjadi punca suasana suram ketika menyambut Hari Kemerdekaan.

“Negara kita baharu sahaja selesai berkabung untuk mangsa tragedi MH17, jadi kesedihan itu masih terasa dalam diri setiap rakyat Malaysia.

“Tambahan, pelbagai program untuk menyambut Hari Kemerdekaan terpaksa dibatalkan. Jadi, keadaan ini membuatkan suasana bertambah suram,” katanya.

Berlainan bagi anak muda yang hanya mahu dikenali sebagai Jason, beliau tidak mengibarkan Jalur Gemilang kerana mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan semangat patriotik.

“Menyambut kemerdekaan tidak semestinya mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi bagaimana kita memahami erti kemerdekaan itu.

“Bagi saya dan keluarga, kami menyambut Hari Kemerdekaan dengan berkumpul bersama-sama sebagai tanda kita sebuah negara yang bebas dan aman,” jelas Jason.

Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 Peringkat Negeri akan disambut di Kapit bertema ‘Malaysia… Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.’