Teknologi ‘Set Net’ sesuai dengan perairan Miri: PNK

0

MIRI: Teknologi menangkap ikan ‘Set Net’ amat sesuai dengan keadaan perairan Miri yang kaya dengan ikan jenis pelagik.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Miri Jamali Basri berkata, beliau percaya kaedah baharu diperkenalkan dari Taiwan itu mampu membantu meningkatkan tangkapan ikan terutama untuk pasaran tempatan.

“Kita mahu satu perjumpaan diadakan segera dengan pihak Jabatan Perikanan Malaysia mengenai hal ini yang saya rasa amat dialu-alukan,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai teknologi baharu tangkapan ikan yang bakal diperkenalkan di perairan Sarawak, Sabah dan Labuan iaitu ‘Set Net.’

Perjumpaan itu, katanya, boleh digunakan oleh jabatan untuk memberi taklimat lengkap kepada para nelayan mengenai teknologi terbabit.

Ini termasuk mengenai di mana hendak mendapatkan jenis pukat dengan teknologi ‘Set Net’ dan harga untuk mendapatkannya, katanya.

Mengenai kaedah tangkapan sedia ada, Jamali memberitahu kini nelayan bot-bot panjang menggunakan kaedah pukat hanyut dan pukat tangsi untuk menangkap ikan jenis pelagik terdiri daripada tuna dan kembung di perairan Miri.

“Kita (nelayan) memang sedia untuk menerima kaedah atau teknologi baharu jika berkaitan dengan hasil penangkapan ikan lebih baik, asalkan ia tidak mendatangkan mudarat kepada hidupan laut,” jelasnya.

Semalam, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Datuk Ahamad Sabki Mahmood dilapor berkata pengeluaran ikan pelagik di perairan Sarawak, Sabah dan Labuan masih sederhana dan perlu dipertingkatkan.

Pengeluaran ikan pelagik hanya mencatatkan 25,000 tan setahun sedangkan ia sebenarnya mampu mencapai pengeluaran sehingga 340,000 tan metrik.