Terpelanting tapi lolos

0

SIASAT: Anggota polis dibantu anggota bomba sedang memeriksa nombor casis motosikal yang digunakan suspek.

KUCHING: Meskipun tercampak dari motosikal selepas dihalang menggunakan rantai besi, namun suspek pecah masuk kedai sebuah stesen minyak masih berdaya melarikan diri dalam satu insiden, awal pagi semalam.

Difahamkan, insiden berlaku di sebuah stesen minyak di Jalan Setia Raja di sini apabila dua lelaki dikatakan memecahkan cermin hadapan premis berkenaan dipercayai menggunakan tukul besi sekitar jam 12.15 pagi.

Bagaimanapun, insiden tersebut disedari oleh beberapa anggota dari balai bomba berhampiran yang bergegas ke stesen minyak berkenaan untuk menahan kedua-dua suspek terbabit yang dipercayai cuba mencuri.

“Menyedari kehadiran kami, seorang daripada suspek yang menunggang motosikal terus memecut laju dari situ menyebabkan anggota saya segera menarik rantai besi yang digunakan menutup jalan masuk ke stesen minyak itu.

“Suspek yang cuba merempuh rantai besi itu bagaimanapun tercampak dari motosikalnya, sebelum dia berjaya melarikan diri dengan berlari memasuki kawasan kampung tidak jauh dari situ.

“Seorang lagi suspek yang bersembunyi di dalam kedai, berjaya melarikan diri ketika anggota saya sedang sibuk mengejar suspek pertama tadi,” kata pegawai bomba yang hanya mahu dikenali sebagai Wong.

Menurutnya lagi, pihaknya kemudian segera memaklumkan perkara tersebut kepada polis.

“Sebuah motosikal jenis Yamaha SS serta tukul besi yang ditinggalkan oleh suspek di tempat kejadian juga telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata Wong.

Pihak polis juga telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan usaha untuk menjejaki kedua-dua suspek kini giat dijalankan.Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Fauzilan Abdul Aziz berkata: “Suspek melarikan diri meninggalkan sebuah motosikal jenis Yamaha warna merah yang telah dilaporkan hilang pada 27 Julai lepas di Padungan.”

Justeru, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.