Tiang untuk CCTV canggih

0

TERJAWAB: Tiang besi sebesar pemeluk yang mencecah 30 kaki ini bakal digunakan untuk pemasangan CCTV di 24 lokasi terpilih di seluruh kawasan pentadbiran DBKU dan dijangka mula beroperasi pada November ini. – Gambar Mahathir Haroun

KUCHING: Kemunculan beberapa tiang besi setinggi 30 kaki menyerupai tiang elektrik di sekitar bandar raya ini sering menjadi tanda tanya warga kota sejak kebelakangan ini.

Tiang yang terpacak itu sebenarnya adalah untuk menempatkan kamera litar tertutup (CCTV) terbaharu yang beresolusi tinggi.

Menurut Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, proses pemasangan tiang tersebut kini giat dilakukan di 24 lokasi terpilih di sekitar kawasan DBKU.

“Kerja pemasangan tiang itu hampir selesai, kini hanya menunggu untuk dipasangkan CCTV dan ia dijangka mula beroperasi pada November ini.

“Pemasangan CCTV ini bertujuan untuk memantau sebarang aktiviti warga kota terutama pada malam hari, selain untuk mengurangkan kadar jenayah,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.

Antara lokasinya tiang tersebut ialah berdekatan Electra House, bangunan Bank Negara, lampu isyarat ke Jalan Sultan Tengah di Semariang dan Lebuh India.

Abdul Wahap menjelaskan, sebatang tiang akan menempatkan sebuah CCTV berkuasa tinggi serta canggih yang ditempah khas untuk pemantauan jarak jauh serta dalam cuaca buruk.

“Saya tidak nafikan kamera yang digunakan kelak merupakan kamera tercanggih yang berkemampuan untuk merekod visual selama satu minggu dan maklumat akan disalurkan terus kepada polis dan DBKU,” jelasnya.

Tanpa mendedahkan kos sebenar pemasangan tiang dan CCTV tersebut, Abang Abdul Wahap berkata, ia merupakan projek yang diperuntukkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan di beberapa bandar terpilih di seluruh Malaysia.

Tambahnya, DBKU akan memanggil pengamal media pada satu acara perasmian khas CCTV tersebut pada tarikh yang akan diberitahu kemudian.