Identiti 9 mangsa dibawa pulang 2 Sept belum dapat didedah: Rohani

0

KUCHING: Identiti sembilan mangsa nahas pesawat MH17 yang akan tiba di tanah air pada 2 September ini masih belum dapat didedahkan kepada umum sama ada membabitkan mereka yang berasal dari Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, identiti itu masih tidak dapat didedahkan kerana mengambil kira sensitiviti keluarga yang terlibat.

Menurutnya, lima jenazah dan empat abu mayat dijangka tiba pada jam 8.30 pagi di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Amsterdam.

Malah, jumlah rasmi jenazah yang akan dihantar pulang hanya dapat disahkan selepas mesyuarat akhir berlangsung hari ini.

“Setakat hari ini (semalam), jumlah jenazah dan abu mayat yang akan dihantar pulang Selasa depan masih sama iaitu sembilan orang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Insiden pesawat malang itu mengorbankan tujuh penumpang dari negeri ini termasuk enam sekeluarga dan mendiang Meling Mula, 48.

Dua daripada tujuh mangsa iaitu Allahyarhamah Ariza Ghazalee, 46, dan anak sulungnya, Allahyarham Muhammad Afif, 19, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang pada 22 Ogos lalu.

Bagaimanapun, jenazah suami dan tiga lagi anaknya iaitu Tambi Jiee, 49, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhammad Afruz, 13, masih belum diketahui termasuk mendiang Meling yang berasal dari Bintulu.

Beliau menjelaskan, pihaknya hanya dapat memaklumkan kepada waris mangsa sejurus menerima maklumat pengesahan daripada Lembaga Pengenalpastian Identiti Mangsa MH17 sebelum mereka diterbangkan ke Amsterdam untuk tujuan pengecaman.

“Setiap kerja mengenal pasti jenazah adalah berlandaskan Prosedur Operasi Standard oleh pihak lembaga.

“Saya juga ingin menasihatkan waris mangsa yang terlibat untuk menerima sesiapa sahaja ahli keluarga mereka yang telah dijumpai kerana jenazah yang telah dikenal pasti tidak dapat disimpan terlalu lama di Amsterdam berikutan faktor-faktor tertentu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kementerian tersebut telah menambah lima sesi intervensi kaunseling daripada 35 kepada 40 sesi yang bertujuan untuk menenangkan waris mangsa nahas pesawat tersebut.