Penanaman buluh bakal tingkat ekonomi Penan

0

KREATIF: Abang Johari terpukau dengan hasil kraf tangan yang dipamerkan pada Promosi Kraftangan Malaysia 2014 di Tebingan Kuching, semalam. Turut kelihatan Azran (tiga kiri).

Beberapa kawasan penempatan dikenal pasti berpotensi, pasaran amat luas khususnya di Jepun

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Beberapa kawasan masyarakat Penan di negeri ini dikenal pasti untuk pembangunan penanaman buluh bagi menghasilkan produk kraf tangan.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, antara kawasan yang telah dikenal pasti oleh kerajaan negeri ialah penempatan kaum Penan di Long Banga dan Long Kevok, Baram yang dilihat berpotensi untuk penanaman buluh.

“Saya telah dimaklumkan bahawa terdapat kawasan penempatan yang dikenal pasti iaitu Long Banga dan Long Kevok di Baram, di mana kita menggalakkan mereka menanam buluh.

“Buluh mempunyai pasaran yang amat luas khususnya di Jepun yang memerlukan bahan berkenaan sebagai penyepit makanan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Promosi Kraftangan Malaysia 2014 yang dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Operasi) Datu Ose Murang dan Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak Azran Arip di Tebingan Kuching di sini, semalam.

Abang Johari berkata, kaum Penan antara yang paling sesuai untuk menjalankan aktiviti itu kerana mereka mempunyai bakat istimewa dalam menghasilkan produk kraf tangan daripada bahan hutan termasuk buluh.

Sehubungan itu, Menteri Perumahan itu berkata, kerajaan akan membantu mereka dengan mengajar tentang produk-produk yang boleh dihasilkan daripada buluh.

“Kerajaan akan membantu mengenal pasti kawasan mereka dan pada masa yang sama, membangunkan mereka dari segi meningkatkan ekonomi kaum itu,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, ia tidak terhad kepada kaum Penan sahaja, kerajaan turut menggalakkan masyarakat lain di luar bandar agar turut menceburi aktiviti berkenaan untuk dijual bagi keperluan industri hiliran.

Tambahan, ujarnya, industri penghasilan produk buluh dijangka akan menunjukkan perkembangan yang amat baik pada masa hadapan yang mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia.

“Dari segi perkembangan makanan, penubuhan restoran Jepun di seluruh dunia telah menunjukkan peningkatan sebanyak 60 peratus.

“Selagi restoran Jepun masih ada, maka selagi itulah mereka memerlukan penyepit buluh khasnya dan kita berasakan ini adalah peluang dan potensi dalam industri ini,” tegas beliau.