Ambang Merdeka di Kuching sederhana tetapi meriah

0

PATRIOTIK: Abang Johari bersama yang lain menyanyikan lagu Jalur Gemilang sambil mengibarkan bendera kebanggaan negara.

SPONTAN: Aksi spontan peserta Kayuhan Ambang Merdeka 2014 di Esplanade kelmarin.

PRIHATIN:Sumbangan DBKU untuk mangsa perang rakyat Palestin berupa cek bernilai RM5,000 kepada Dr Khairul (depan, kiri) diserahkan oleh Abang Wahap (depan, kanan) selepas detik 12 tengah malam sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57.

 

 

Oleh Henrietta Liza //

KUCHING: Detik tepat 12 tengah malam kelmarin menjadi detik bersejarah sambutan Hari Kemerdekaan di sini apabila pusat bandar raya Kuching dibanjiri golongan tua dan muda pelbagai bangsa dan agama.

Menambah seri sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 itu kelmarin, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg melepaskan peserta Kayuhan Merdeka 2014 di Esplanade.

Peserta kayuhan yang terdiri daripada 320 orang itu mengayuh basikal sejauh 21 kilometer dengan membawa Jalur Gemilang kecil di seluruh kawasan bandar raya ini.

Abang Johari ditemani Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Pengurus Bank Rakyat Wilayah Sarawak Khirudin Abang Jajol.

Juga hadir adalah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Negeri Sarawak (JASA) Hassan Busu serta wakil Sayang Gaza Sayang Palestin Mohd Nizam Maulana.

Sebelum itu, pihak DBKU menjual baju kemeja Gaza dan kain selempangnya pada harga RM25 setiap satu serta jumlah kutipan akan disalurkan juga ke Tabung Gaza.

Sebelum itu, DBKU turut menganjurkan Pertandingan Karaoke, Pertandingan Silat, Pertandingan Bermukun, Pertandingan Satok Idol dan Pertandingan Lagu Asli.

Kumpulan pancaragam DBKU Baskers mendendangkan pelbagai lagu patriotik negara dan lagu-lagu lain selain Azlina Mahmud turut mendeklamasikan sajak bertajuk ‘Pahlawan Merdeka’.

Cabutan bertuah turut diadakan untuk peserta kayuhan Ambang Merdeka kelmarin.

Pihak DBKU turut menyumbang cek bernilai RM5,000 kepada wakil Pengurus Aman Palestin Berhad Dr Khairul Jamli.