Gangguan elektrik Loji Rawatan Air Batu Kitang jejas beberapa kawasan

0

KUCHING: Gangguan bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Batu Kitang telah menjejaskan beberapa kawasan di sini petang Sabtu lepas.

Notis daripada Lembaga Air Kuching semalam memaklumkan bahawa gangguan tersebut telah menyebabkan beberapa kawasan mengalami tekanan air rendah atau tiada air bermula jam 5.30 petang.

Masalah HT (High Tension) bekalan kuasa daripada Sarawak Energy Berhad (SEB) menyebabkan sistem di Loji Rawatan Batu Kitang berjalan menggunakan set jana kuasa (genset).

“Lembaga kesal atas sebarang kesulitan yang menjejaskan pengguna.

“Semua usaha akan diambil untuk memulihkan bekalan air agar kembali normal dalam masa yang mungkin paling cepat,” jelas notis tersebut.

Pada Julai lepas, banyak kawasan di bahagian Kuching mengalami tekanan air rendah akibat kemarau.

Sebulan sebelum ini, berlaku kekurangan air disebabkan gangguan kuasa berpunca daripada kerosakan kekal pada 132/33Kv Semenggoh yang membekalkan kuasa ke Loji Rawatan Air Batu Kitang.