Jalan atau sungai?

0

ADUAN RAKYAT: Ting (tiga kanan) mendengar aduan penduduk Rumah Sumpon yang ingin masalah jalan ditenggelami air diatasi dengan segera.

Oleh Florence Nervyn //

BINTANGOR: Jalan Selidap yang menghubungkan Rumah Sumpon dan Jalan Bintangor-Sarikei kerap dilanda banjir sejak kerja naik taraf jalan tersebut dilakukan beberapa tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Ting Tze Fui dan ahli jawatankuasa Parti Tindakan Demokratik (DAP) Cawangan Bintangor turun padang meninjau kawasan terbabit kelmarin.

“Tinjauan saya mendapati air sudah mencapai paras pinggang iaitu kira-kira semeter,” katanya sambil memberitahu keadaan menjadi semakin serius apabila tiba musim tengkujuh.

Menurut Tuai Rumah Sumpon, paras air yang tinggi menyebabkan penduduk rumah panjang yang dihuni 230 orang terpaksa meletakkan kenderaan di bahagian jalan yang tidak ditenggelami air.

“Keadaan ini juga menyukarkan anak-anak turun ke sekolah dan mereka yang keluar bekerja setiap hari,” katanya.

Menurutnya, penduduk rumah panjang itu pernah mengadu masalah tersebut kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) namun sehingga kini masih tiada sebarang maklum balas.

Sehubungan itu, Ting meminta pihak berkenaan memantau keadaan jalan terbabit dan memahami masalah yang membelenggu penduduk rumah panjang tersebut.

“Tindakan segera perlu diambil bagi menjaga keselamatan penduduk rumah panjang itu,” katanya dan memberitahu masalah jalan mendap dipercayai punca banjir berlaku.