Kebijaksanaan pemimpin terdahulu membawa kepada banyak kemajuan

0

BETONG: Kebijaksanaan pemimpin terdahulu membawa kepada kemajuan negeri ini seiring dengan perpaduan kukuh meskipun mempunyai latar belakang berbeza kaum dan agama.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sejak 51 tahun merdeka kemakmuran dikecapi berterusan hingga mewujudkan satu semangat bersatu dalam kesepakatan kekeluargaan yang erat.

“Meskipun kita dilahirkan berbeza keturunan dan agama, kita saling memahami antara satu sama lain seperti satu keluarga.

“Kita tidak kekok menghadiri majlis yang dianjurkan meskipun berbeza budaya dan bangsa mahupun agama kerana kita saling faham akan cara perhubungan dalam setiap kaum yang sentiasa bersatu.

“Terbukti dengan semangat permuafakatan kukuh kita dapat menjayakan majlis ini dengan kehadiran penduduk Kampung Melayu Betong yang bersatu hati dan saling membantu melaksanakan program,” katanya pada Majlis Mesra Merdeka anjuran Kampung Melayu Betong di sini kelmarin.

Uggah menjelaskan, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada pihak yang cuba memecah belah keamanan dan kemakmuran rakyat negeri ini.

“Tindakan memecahbelahkan perpaduan agama dan bangsa serta mencemar institusi raja boleh menghancurkan keamanan negara dan kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya kepada pelaku yang menimbulkan kekecohan.

“Ini merupakan satu cabaran kepada rakyat yang mengamalkan perpaduan erat antara kaum dan kesepakatan rakyat dan pemimpin.

“Apatah lagi pada zaman sekarang wujud pelbagai medium canggih yang dapat menyebarkan berita secara terus seperti laman sosial  Facebook yang jika disalah guna akan menjadi bahan yang menghancurkan perpaduan masyarakat,” katanya.

Uggah berkata pengukuhan sistem pendidikan negara juga diberi penekanan agar anak bangsa dapat lari daripada cengkaman kemiskinan.

Katanya ia berjaya dilaksanakan secara berperingkat dengan sokongan rakyat yang berfikiran terbuka dengan memberi pendidikan kepada anak-anak.

Kemeriahan majlis itu turut dirasai kira-kira 1,000 penduduk Kampung Melayu Betong yang menyertai program anjuran Jawatankuasa Majlis Ramah-Tamah Kampung Melayu Betong.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta isteri Dato Sri Empiang Jabu, Residen Bahagian Betong Datu Romie Sigan Daniel dan isteri Datin Grace, Pegawai Daerah Betong Friday Belik, Penghulu Kampung Melayu Betong Abang Zawawie Rajit, ketua-ketua jabatan dan masyarakat.