Ketiadaan pemain import beri kesan kepada Sarawak

0

KUCHING: Ketiadaan pemain import memberi kesan kepada persembahan pasukan Sarawak ketika menentang Perak pada aksi Piala Malaysia 2014 di Stadium Negeri, di sini malam kelmarin.

Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata dua pemain import tidak bermain dalam perlawanan itu dan pemain tempatan terpaksa diturunkan mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Menurutnya, pemain tempatan Sarawak menunjukkan usaha tinggi biarpun menyedari skuad kita sudah terkeluar daripada saingan Piala Malaysia musim ini.

“Kita sudah memberi yang terbaik malam ini (Sabtu), tetapi keputusan tidak memihak kepada kita.

“Saya tidak kecewa kerana sepanjang kejohanan ini kita sudah melakukan yang terbaik,” katanya ditemui selepas perlawanan.

Beliau berkata, keutamaan sekarang adalah memberi tumpuan lebih khusus kepada kempen Liga Super tahun depan.

Perlawanan menentang Perak malam kelmarin di Stadium Negeri menyaksikan kedudukan terikat 1-1.

Dalam perlawanan itu, Sarawak tidak menurunkan pemain import disebabkan kecederaan dan digantung perlawanan.