Mohammad Sharif pemenang Peraduan ‘Shell Easy Win’

0

KUCHING: Penjawat awam, Mohammad Sharif Mohammad Ekbar, 45, pasti tidak akan melupakan detik bersejarah tatkala diumumkan menjadi pemenang Peraduan ‘Shell Easy Win’, di pusat beli-belah Plaza Merdeka, semalam.

Peraduan itu menyaksikan kemenangan yang berpihak kepada Sharif yang akhirnya berjaya membawa pulang sebuah televisyen LCD 50 inci berserta 6,000 mata ganjaran Bonuslink.

Selain Sharif, lima pemenang lain merangkumi pemenang tempat kedua, ketiga dan dua hadiah sagu hati turut pulang dengan hadiah yang disediakan.

Bagaimanapun, Peraduan ‘Shell Easy Win’ yang berlangsung di seluruh negara itu dimulakan pada 7 Julai dan akan berakhir pada 14 September ini.

Lebih 2,510 pemenang berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai sehingga RM40,000 setiap minggu mengikut tempoh kempen.

Pelanggan hanya perlu mengisi minyak Shell Fuelsave sebanyak RM30 di mana-mana stesen petrol Shell berhampiran anda.

Bagi memeriahkan lagi acara penyampaian hadiah tersebut, sekali lagi pengunjung dikejutkan dengan kehadiran jemputan istimewa yang juga merupakan duta Shell Fuelsave 95 iaitu pelakon terkenal, Fahrin Ahmad.

Menurut Fahrin, beliau teruja berkongsi pengalaman serta tip pemanduan dengan Shell Fuelsave yang banyak memberi peningkatan prestasi dalam prestasi pemanduan serta jarak perjalanan yang lebih baik.

“Shell komited untuk membantu pengguna kenderaan terutama dalam penjimatan minyak serta memberi ganjaran kepada mereka yang setia sekali gus memberi pengalaman pemanduan ke arah yang lebih baik,” katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas pada Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan ‘Shell Easy Win’, di sini.

Selain itu, peminat duta itu juga berpeluang mendapatkan tandatangan Fahrin pada sesi menandatangani serta sesi bergambar pada akhir acara tersebut.

Untuk maklumat lanjut mengenai peraduan itu, sila layari laman sesawang di alamat: www.shell.com.my/easywin.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengurus Shell Wilayah Sarawak Wan Ahmad Anis Wan Mohd Shukri, Pengurus Jualan Kategori Bahan Bakar Shell Helmi Hasan dan Pengurus Kawasan Nicholas How Yew Naysadorai.