Taib, Adenan dan kenamaan saksikan Perlumbaan Bot Laju

0

PEMINAT PERLUMBAAN: Taib (tengah), Ragad (kanan), Adenan (tiga kanan) serta tetamu menyaksikan pusingan akhir bot laju di Kapit, petang semalam.

TUMPUAN RAMAI: Aksi perlumbaan bot laju di Terminal Penumpang Kapit, petang semalam.

 

KAPIT: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib menyaksikan pusingan akhir Perlumbaan Bot Laju di Terminal Penumpang Kapit di sini, petang semalam.

Turut sama menyaksikan ialah Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dan isteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu.

Hampir 5,000 masyarakat setempat membanjiri Tebingan Rajang untuk menyaksikan perlumbaan bot laju.

Cuaca panas terik melancarkan pertandingan tersebut.

Pusingan akhir itu turut disaksikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan isteri Datin Amar Fatimah Iskandar, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing dan isteri Puan Sri Corine Masing, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi serta menteri-menteri muda, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli-ahli Parlimen.

Acara itu merupakan salah satu program sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 Peringkat Negeri yang berpusat di Kapit sebagai tuan rumah tahun ini.

Terdahulu, Larian Merdeka diadakan pada 30 Ogos lalu di Dewan Suarah Kapit, disusuli Majlis Kesyukuran di Masjid Jabal An-Nur, Kapit pada sebelah malamnya.

Semalam (31 Ogos) Perhimpunan Merdeka diadakan di Stadium Kapit pada sebelah paginya, sebelum acara kemuncak sambutan iaitu Perlumbaan Bot Laju pada sebelah petang.