Yayasan Sarawak-Sanjung Etika muncul juara

0

KUCHING: Jaringan Mohd Hadera Bakri pada minit ke-49 membawa Yayasan Sarawak-Sanjung Etika muncul juara Piala FA Samarahan 2014 dengan menundukkan Team Kickalob K2015 dengan 1-0 di Stadium Mini Samarahan petang Sabtu lalu.

Ini merupakan gelaran kedua buat Yayasan Sarawak-Sanjung Etika setelah skuad itu turut dinobatkan juara Piala Residen Samarahan 2014 pada minggu lalu.

Yayasan Sarawak-Sanjung Etika lebih banyak menguasai permainan namun gagal menemui sentuhan penyudah pada babak pertama, sebelum Hadera muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan di awal babak kedua.

Piala FA Samarahan anjuran Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS) menjadi tirai penutup Liga Samarahan bagi sesi 2014.

Pada majlis sama, juara Liga Samarahan 2014 iaitu Sambir Bistari menerima piala pusingan berserta piala iringan.

Naib juara Yayasan Sarawak-Sanjung Etika sementara Gedong FC dan Team Kickalob K2015 di tempat ketiga dan keempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Aidel Lariwoo menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Hadir sama Presiden Persatuan Bola Sepak Samarahan (PBSS), Haidel Heli.