BTB ungguli kejohanan Futsal Piala Sarawak

0

PEMENANG: Galong (berdiri tujuh kiri) bersama kedua-dua pasukan pemenang dan penganjur pada perlawanan akhir Futsal Piala Sarawak di Betong, kelmarin.

BETONG: Pasukan BTB dari Pusa menjuarai Kejohanan Futsal Piala Sarawak Peringkat Daerah Betong 2014 setelah menewaskan Pasola FC dari Betong 2-1 dalam aksi final di Dewan Sukan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan Betong kelmarin.

Dalam aksi final itu, kedua-dua pasukan terpaksa bekerja keras sebelum melangkah ke penentuan perlawanan akhir yang menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 untuk sang juara serta piala dan pingat dan RM700 serta piala dan pingat untuk naib juara.

Manakala dua pasukan yang tewas peringkat separuh akhir iaitu AS Naufal A dan Bersepai FC terpaksa berpuas hati di tempat ketiga bersama menerima hadiah wang tunai RM400 dan pingat.

Bagi kategori wanita, Gromang FC dinobatkan juara manakala Kamikaze yang ditewaskan dengan jaringan 1-0 pada pertemuan menentukan kejuaraan liga sekali gus mengesahkan mereka juara.

Juara kategori wanita menerima hadiah wang tunai RM700 serta piala dan pingat manakala naib juara membawa pulang hadiah RM400 serta piala dan pingat.

Dua pasukan masing-masing tewas dalam perlawanan mereka meskipun kemenangan diberikan kepada Queen Junior pada pertemuan dengan Iron Woman namun kedua-dua pasukan diberikan hadiah tempat ketiga bersama dengan menerima hadiah wang tunai RM300 dan pingat.

Kejohanan dua hari itu disertai sebanyak 30 pasukan lelaki dan empat pasukan wanita terdiri belia-belia dianjurkan oleh jawatankuasa Program Sambutan Merdeka Peringkat Bahagian Betong.

Hadir menyaksikan perlawanan akhir ialah Timbalan Residen Bahagian Betong Galong Luang, wakli Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Wan Mustapha dan Pegawai Menguasa Pejabat Pembangunan Sosial (PPS) Betong, Awang Mazelan Awang Majid.

Dalam majlis itu, Galong yang juga pengerusi kejohanan merasmikan perlawanan akhir dan melakukan sepak mula.

Sementara itu, kejohanan tersebut bertujuan memilih wakil dan persiapan bagi mengharungi cabaran Bahagian Betong ke pertandingan Futsal Piala Sarawak yang akan dilangsungkan di Sarikei pada 1 hingga 3 Oktober nanti.