Dihempap pokok

0

Oleh Hamimi Kassim//

Dua rumah rosak teruk ditimpa pokok dalam kejadian hujan lebat berserta ribut di Kampung Semerah Padi Fasa 1, Kuching.

KUCHING: Dua rumah dihuni lima keluarga rosak teruk selepas dihempap sebatang pokok dalam kejadian hujan lebat berserta ribut di Kampung Semerah Padi Fasa 1 dekat sini kira-kira jam 5.40 petang kelmarin.

Salah seorang penghuninya Norliza Ahmad, 29, berkata semasa kejadian dia dan keluarganya sempat melarikan diri apabila terdengar bunyi yang kuat sebelum pokok berkenaan tumbang dan menghempap bahagian hadapan dan ruang tamu rumah mereka.

MALANG: Norliza menunjukkan keadaan rumahnya yang dihempap pokok di Kampung Semerah Padi Fasa 1 kira-kira jam 5.40 petang, kelmarin.

Menurutnya, setiap kali hujan lebat dan angin kencang, mereka sememangnya selalu berjaga-jaga berikutan kejadian sama iaitu dahan besar pernah jatuh menimpa rumah mereka sebelum ini.

“Berikutan kejadian dahan jatuh sebelum ini, kami telah melaporkan kepada pihak bertanggungjawab supaya menebang pokok terbabit. Tetapi tiada tindakan diambil.

“Hinggalah kepada kejadian ini dan kami sudah tidak dapat berbuat apa-apa apabila pokok itu sendiri tumbang menimpa rumah kami,” katanya yang masih terkejut ketika ditemui pemberita malam kelmarin.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ketika ditemui pemberita semasa Majlis Merdeka Raya dan Perasmian KRT Kampung Semerah Padi Fasa 1 berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Pihak bomba telah mengalihkan pokok berkenaan, Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) juga sudah dimaklumkan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan kami maklumkan esok (semalam).

“Teruk kerosakannya hanya akan dapat dipastikan esok (setelah pokok dialihkan) dan dari situ baharu kita dapat pastikan tindakan selanjutnya yang perlu diambil,” ujarnya.

Beliau menambah kata, TBS telah menyampaikan sumbangan kecemasan seperti beras, minyak masak, mi segera dan biskut kering kepada mangsa.

Terdahulu, seramai 10 anggota bomba dengan sebuah jentera dan sebuah van serta lapan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bekerjasama mengalihkan pokok tumbang berkenaan.