Golf dalam SUKMA 2016

0

Oleh Mahathir Haroun

BERSAMA PEMENANG: Adenan dan Jamilah bersama Lee (dua kanan) dan Rebecca (dua kiri) di Kuching semalam. — Gambar Oleh Chimon Upon.

Pemain perlu memastikan Sarawak mencapai keputusan terbaik

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Amar Adenan Satem mengesahkan golf akan dimasukkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 yang bakal diadakan di Sarawak.

Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkannya bersama Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawan Ikom.

Menurutnya, Sarawak mempunyai tempoh dua tahun lagi untuk melengkapkan segala persiapan termasuk kemudahan sukan golf pada temasya dwitahunan itu.

“Golf akan dimasukkan pada temasya SUKMA 2016 yang mana kita akan menjadi tuan rumah.

“Saya sudah bercakap dengan William (Mawan) agar tindakan selanjutkan dapat diambil,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah 1st Sarawak Grand Championship 2014 di Kelab Golf Sarawak (KGS) di sini semalam.

Sehubungan itu, menurutnya, pemain golf negeri perlu bersedia dari sekarang untuk memastikan Sarawak dapat mencapai keputusan terbaik dalam acara golf SUKMA 2016 nanti.

Mengulas mengenai 1st Sarawak Grand Championship 2014, Adenan menjelaskan kejohanan itu diadakan sebagai acara tahunan sebagai pendedahan terbaik kepada pemain-pemain golf tempatan.

Presiden Persatuan Golf Sarawak, Hoan Kee Hock pula berkata kejohanan julung kali itu memberi banyak faedah kepada pembangunan golf di Sarawak.

“Ini kerana ia boleh menjadi produk pelancongan yang mana mampu menarik lebih ramai pemain golf bersaing,” katanya.

Sementara itu, Lee Ka Tung muncul juara pertama acara ‘gross’ kategori lelaki 1st Sarawak Grand Championship 2014 diikuti Magit Semong di tempat kedua dan Lee Kah Ming ketiga.

Acara ‘nett’ lelaki menyaksikan Michael Lee muncul pemenang manakala Steven Hii dan Hazaman Bunggal masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Kategori ‘gross’ wanita menyaksikan Rebecca Sia muncul pemenang manakala Park Eun Young mengungguli ‘nett’ wanita.

Hadir sama isteri Adenan, Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani.