Ibu gendong anak tergamam rantai diragut

0

KUCHING: Seorang ibu yang sedang menggendong anak berusia tiga tahun hanya mampu tergamam apabila seorang lelaki bermotosikal meragut rantai emasnya di Kenyalang Park, semalam.

Menurut sumber, mangsa sedang berjalan menuju kereta yang diletakkan di stesen minyak berhampiran sekitar jam 9 pagi selepas selesai membeli barang keperluan apabila didatangi suspek.

Lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 itu kemudian dikatakan bertindak meragut rantai yang dipakai wanita berkenaan sebelum melarikan diri.

Suami wanita itu yang sedang menunggu di dalam kereta, ternampak insiden itu cuba mengejar lelaki berkenaan.

Dia bagaimanapun berputus asa selepas suspek licik itu dikatakan melarikan diri menggunakan terowong kecil Jalan Tun Razak ke Jalan Foochow No 1.

Kerugian dianggarkan sebanyak RM2,000 namun wanita serta anak kecil itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam kes berasingan, dua pelajar kolej membuat laporan polis apabila rumah sewa mereka di Semariang Baru dipecah masuk ketika sedang nyenyak tidur.

Insiden itu hanya disedari pagi semalam selepas mendapati dua komputer riba dan dua telefon bimbit yang dikatakan diletakkan di ruang tamu didapati hilang.

Kedua-dua gadis itu bersyukur kerana tidak diapa-apakan kerana pencuri tidak memasuki bilik tidur mereka.

Laporan-laporan polis telah dibuat dan polis sedang menjalankan siasatan.