Individu dikenal pasti

0

Oleh Mohd Nazib Macpee

Polis akan bertindak tegas terhadap usaha bawa Sabah keluar Malaysia

LAHAD DATU: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang membuat kenyataan berbau usaha membawa Sabah keluar dari Malaysia, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin.

Beliau berkata, pihaknya kini sudah mengenal pasti individu terbabit dan siasatan lanjut akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini.

“Kenyataan yang berunsur hasutan itu dilihat sengaja memporakperandakan negara dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan mempertikai kedudukan Sabah dalam Malaysia.

“Polis akan memastikan tindakan diambil selari dengan kenyataan yang dibuat, ini kerana kita tidak mahu ada rakyat Sabah yang dihasut supaya membenci negara Malaysia,” katanya selepas merasmikan Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di sini kelmarin.

Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu program di Sipitang berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang mencadangkan usaha membawa Sabah keluar dari Malaysia yang disifatkannya menjejaskan semangat kerjasama, keselamatan dan perpaduan rakyat.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada mereka yang membuat kenyataan itu supaya menghentikan tindakan sedemikian.

Sementara itu, mengulas mengenai arahan perintah berkurung, Mohd Bakri memberitahu arahan perintah berkurung di perairan timur Sabah hanya akan dihentikan jika tahap keselamatan di kawasan itu pulih.

Jelasnya, setiap tindakan diambil berdasarkan keperluan keselamatan itu sendiri dan masyarakat sedia maklum pelaksanaan perintah berkurung itu berkesan dalam mengekang kegiatan mendatangkan ancaman keselamatan terhadap Sabah.