Kerajaan DAP Pulau Pinang tetap bertegas pertahan PPS

0

CABAR: Lim bersama pemimpin DAP hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk mendapat perkembangan terbaru penahanan ahli-ahli Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di George Town, semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang tetap berdegil mempertahankan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) negeri ini dan tidak akan tunduk sama sekali dengan amaran Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk mengambil tindakan terhadap pasukan itu.

Malah Ketua Menteri Lim Guan Eng pada sidang akhbar di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, pagi semalam turut mencabar Khalid untuk berbahas secara terbuka dengan beliau berhubung isu PPS.

“Walaupun kami tidak ada kekuatan seperti Ketua Polis Negara, kami tidak akan tunduk kerana satu nilai sahaja iaitu kebenaran. Kalau beliau (Khalid) benar-benar rasa beliau benar, saya cabar Ketua Polis Negara untuk adakan satu perbahasan terbuka tentang PPS.

“Beranikah anda sebagai Ketua Polis Negara untuk mengadakan perbahasan tentang ucapan beliau yang sungguh tidak bertanggungjawab menggunakan kuasa untuk menangkap (anggota exco) Phee Boon Poh dan juga mengambil keterangan Ketua Menteri,” katanya.

Kelmarin, polis menahan 156 anggota PPS termasuk pengerusi pasukan itu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh.

Polis turut mengambil keterangan Lim dan Anggota Undangan Negeri Seri Delima RSN Rayer. Lim berada di IPD Timur Laut sehingga jam 3.30 pagi.

Khalid dalam Twitternya kelmarin meminta mereka yang bertanggungjawab terhadap PPS segera menyerah diri sebelum polis menyerbu rumah mereka.

Tindakan terhadap PPS diambil berikutan pasukan itu tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Khalid mengeluarkan kenyataan bahawa PPS adalah pertubuhan yang menyalahi undang-undang kerana tidak berdaftar dengan ROS.

Lim tetap menegaskan PPS adalah pertubuhan di bawah kerajaan negeri pimpinan DAP dan akan mempertahankan anggota pasukan itu.

“Kerajaan negeri tidak akan tunduk sama sekali dengan ugutan beliau (Khalid)…mungkin saya nak tanya bilakah giliran saya untuk ditangkap…saya tunggu sama beliau,” katanya. — Bernama