Konsulat sedia bekerjasama siasat dua pegawai polis Indonesia terlibat dadah

0

KUCHING: Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa negara berhubung siasatan kes penahanan dua pegawai polis Indonesia di sini baru-baru ini dipercayai berkaitan dadah.

Kedua-dua mereka kini direman sehingga 6 September ini di Balai Polis Tabuan Jaya dan Balai Polis Sekama setelah ditahan pada sekitar jam 3 petang hingga 8 malam 29 Ogos lepas kerana memiliki dadah.

Mendedahkan perkara itu semalam, Naib Konsul (Hal Ehwal Konsular dan Perlindungan Rakyat Indonesia) Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching Marisa Febriana berkata, kedua-dua mereka disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah 1952.

“IPK Sarawak memberitahu kami bahawa kes diserah kepada Bukit Aman.

“Bagaimanapun, sehingga sekarang IPK Sarawak dan Bukit Aman masih belum mendedahkan kepada kami sebarang bukti sama ada dari segi jenis dadah, berapa jumlahnya atau dalam bentuk apa,” katanya ketika dihubungi.

Marisa menambah, pihaknya juga menghormati penuh proses penguatkuasaan undang-undang yang dilakukan oleh pihak berkuasa negara dan akan menyerahkan penyiasatan dijalankan dalam tempoh tahanan reman.

Namun demikian, beliau berkata pihaknya juga akan menyediakan khidmat guaman kepada kedua-dua rakyatnya yang ditahan itu bagi memastikan mereka mendapat hak yang sah.

“Pastinya, kami kesal bahawa terdapat pegawai polis kami terlibat dalam kes sedemikian.

“Bagaimanapun, kami bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia untuk siasatan berhubung kes ini dan mendapatkan pengadilan,” katanya.

Portal berita dalam talian, detikNews kelmarin mendedahkan bahawa dua pegawai polis Indonesia telah ditangkap polis di Kuching berkaitan dadah.

Bagaimanapun, tiada laporan kes didedahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini.

detikNews turut memetik Ketua Polis Daerah Kalimantan Barat (Kalbar) Brigadier Jeneral Arief Sulistyanto menjelaskan mengenai kes di mana polis narkotik PDRM telah menahan dua pegawai polis Indonesia di Kuching.

Dua pegawai polis tersebut masing-masing dikenali sebagai Idha Endri Prastiono dari Ibu Pejabat Polis Kalbar dan M.P Harahap daripada IPK Entikong.

“Belum jelas jumlah barang bukti yang ditahan pihak Malaysia namun ia dikhabarkan mencecah enam kilogram.

“Tak ada keterangan soal barang bukti tersebut di e-mel Brigjen Arief,” petik portal tersebut.